SEJARAH tercipta pada pertembungan antara Liverpool dengan Chelsea di pentas final Piala Super UEFA awal pagi Khamis apabila ia akan diadili oleh seorang wanita.

Stephanie Frappart dipilih sebagai pengadil wanita pertama mengadili perlawanan besar UEFA melibatkan pemain lelaki, dan ia disambut dengan begitu baik oleh pengurus kedua-dua pasukan.

Jurgen Klopp percaya, akhirnya sudah tiba masa wanita mengadili perlawanan berprofil tinggi, memandangkan kaum Hawa sudahpun terlebih dahulu diketengahkan dalam bola sepak di Jerman.

“Saya ada banyak pengalaman dengan pengadil wanita di Jerman. Ia mengambil masa untuk dia (Frappart) dipilih - bukan daripada kelompok profesional (lembaga pengarah UEFA), tetapi lebih daripada para pengadil - untuk dia bersedia.

“Saya pasti, dengan segala emosi yang terlibat, kita akan permudahkan kerjanya. Saya akan pamerkan wajah terbaik saya, kalau tidak ibu saya mesti akan marah,” katanya.

Tambah Klopp yang gembira untuk menjadi sebahagian daripada sejarah baharu, berharap ia menjadi malam yang istimewa dan bukan yang pertama dan yang terakhir.

Frappart, 35, adalah pengadil kelahiran Perancis yang ditugaskan mengadili final Piala Dunia Wanita FIFA 2019 antara Amerika Syarikat dengan Belanda sebelum dilantik sebagai pengadil wanita pertama Ligue 1.


Sementara itu, Frank Lampard berkata sukan bola sepak telah mengorak pelbagai langkah bersejarah, mengambil contoh Piala Dunia Wanita yang semakin diikuti ramai, membuktikan wanita perlu lebih kerap dilibatkan dalam perlawanan besar.

“Kita lambat dalam banyak perkara berhubung hal ini dan kini mereka semakin mendapat perhatian.

“Kami amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada ini dan kita melakukan sesuatu yang besar dalam perkembangannya. Ia satu detik bersejarah dan selangkah lagi ke haluan yang benar,” ujar Lampard.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea yang kini menggalas tugas mengendali kelab London itu akan memimpin barisan muda berdepan juara Eropah, Liverpool yang kembali ke tanah keramat mereka, Istanbul di mana The Reds menjulang gelaran Liga Juara-Juara kelima pada 2005.