BARCELONA 2 GETAFE 1

Kecederaan meletakkan Jordi Alba dalam keraguan untuk pertembungan Barcelona dengan Real Madrid pada 1 Mac depan ekoran masalah pangkal pahanya dalam kemenangan ke atas Getafe, awal pagi tadi.

Alba -- yang kerap dihimpit kecederaan musim ini -- terpaksa dikeluarkan pada minit ke-22 sebelum jaringan pembukaan Antoine Griezmann, yang diilhamkan oleh Lionel Messi, tercetus dalam aksi di Camp Nou itu.

Dia kemudian digantikan oleh Junior Firpo, yang memainkan peranan penting dalam jaringan Sergi Roberto -- untuk menjadi titik kemenangan selepas perlu bekerja keras untuk mengekang pelawat dalam babak kedua.



Selepas menjalani ujian lanjut, Barca mengesahkan Alba mengalami masalah di bahagian pinggul kanannya.

Masih belum jelas berapa lamakah pemain berusia 30 tahun itu akan diketepikan tetapi penyertaannya dalam kedua-dua perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Napoli termasuk pertemuan 'El Clasico' dalam kesamaran.

Kemenangan itu membawa pasukan bimbingan Quique Setien itu berkongsi kedudukan puncak LaLiga di samping Madrid manakala skuad kendalian Zinedine Zidane berkenaan hanya akan beraksi pada awal pagi esok.