BEKAS pengurus kelab bola sepak Manchester United, Sir Alex Ferguson menjalani pembedahan kecemasan hari ini setelah dilapor mengalami pendarahan otak.

Perkara itu dimaklumkan kelab berkenaan menerusi satu kenyataan di Twitter rasmi yang turut menyatakan bahawa prosedur pembedahan ke atas Fergusan berjalan lancar.

"Beliau perlukan rawatan rapi untuk tempoh tertentu bagi mengoptimumkan proses penyembuhannya.

"Keluarganya memohon privasi berhubung perkara ini," menurut kenyataan itu.


Pengurus bola sepak paling berjaya dalam sejarah bola sepak British itu dianugerahkan gelaran Sir pada 1999, tahun yang sama United menjulang tiga trofi pada satu musim.

Ferguson, 76 tahun, menerajui United dari 1986 hingga 2013, menjuarai Liga Juara-Juara dua kali, Liga Perdana 13 kali dan lima kali menjulang Piala FA.

Ferguson menyertai United pada November 1986 selepas Ron Atkinson dipecat dan memerlukan tiga setengah tahun untuk mencatat kejayaan pertamanya bersama United dengan Piala FA pada 1990.

Pada 2001 beliau memutuskan untuk meninggalkan kelab namun dipujuk keluarganya dan kekal membimbing The Red Devils hingga 2013.