ATLET Papan Selaju Malaysia, Arina Rahman masih lagi menjadi harapan negara untuk memenangi pingat dalam acara papan selaju yang akan dipertandingkan buat kali pertama di Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini.

Arina yang gagal melengkapkan run yang penuh semasa kejohanan kelayakan Asia, Vans Park Series (VPS) di Singapura hujung minggu lalu, masih di hadapan peserta-peserta dari Asia Tenggara yang lain.

Peluncur dari Kajang itu mendapat 68.51 mata di tempat keempat, di hadapan atlet kategori ‘park’ terbaik dari Indonesia, Pevi Permana Putra, yang mengutip 63.12 di tempat kelima.



Peserta lain dari Asia Tenggara menyaksikan Johan Badiuzzaman dan Rocky Chann dari Singapura masing-masing di tempat kesembilan dan kesepuluh, Eka Meiyasa dan Denick Pradnyana Putra dari Indonesia di tempat ke-11 dan 12.

Berdasarkan ranking kategori park ini, boleh disimpulkan bahawa Arina mempunyai peluang cerah membawa pulang pingat dari Filipina nanti.

Namun Arina bakal menerima tentangan sengit daripada atlet tuan rumah, Jericho ‘Kiko’ Francisco Jr. untuk perebutan pingat emas.

Francisco Jr., warga Filipina-Amerika Syarikat merupakan seorang pemain profesional yang menetap di Amerika serta ditaja oleh jenama-jenama terkemuka Amerika Syarikat seperti Powell-Peralta dan Bones Bearings.

Dalam kelayakan VPS yang di Singapura minggu lepas, atlet remaja Jepun mendominasi kategori lelaki.

Sota Tsuji, 14 tahun muncul juara mengatasi dua lagi rakan senegaranya, Yuro Nagahara, 13 tahun di tempat kedua dan Kikuchi Taisei, 13 tahun, ketiga.



Saingan wanita menyaksikan pemenang pingat gangsa Sukan Asia, Nyimas Bunga Cinta, 15 tahun muncul juara, mengatasi dua peserta Korea Selatan, Hyunju Cho, 12 tahun di tempat kedua dan Nayeon Hong, 10 tahun di tempat ketiga.

Atlet wanita negara, Christina Lai, 14 tahun yang mengalami kecederaan semasa sesi latihan di Sukan Asia tahun lepas, mempamerkan peningkatan di VPS Singapura untuk mendapat tempat keempat.



Dengan kemenangan di Singapura, Sota dan Nyimas mendapat tiket untuk menyertai kejohanan dunia VPS di Salt Lake City, Amerika Syarikat bersama juara-juara yang lain dari seluruh dunia pada 6-7 September nanti.