DUA juara dunia, Azizulhasni Awang dan Cheong Jun Hoong menepati ramalan muncul penerima Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2017 pada majlis Anugerah Sukan Negara malam ini.

Selepas meraih Anugerah Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2017, pelumba berusia 30 tahun dari Dungun, Terengganu, yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ terus diberikan pengiktirafan selepas beraksi cemerlang pada tahun lepas.

Setelah sekian lama menanti, sukan berbasikal negara akhirnya menyaksikan juara dunia pertama berjaya dilahirkan menerusi Azizulhasni pada 13 April 2017 melalui acara keirin, dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong.

Kejayaan ini menyaksikan Azizulhasni diangkat selaku Olahragawan Kebangsaan buat kali ketiga selepas kali terakhir pada tahun 2009 dan 2010.

Muhammad Ziyad Zolkefli meneruskan kecemerlangan apabila muncul pemenang pingat emas lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) Sukan Paralimpik Rio de Janeiro 2016 dengan memenangi pingat emas serta melakar rekod baru dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Penerjun negara, Jun Hoong, mengharungi tahun 2017 dengan jayanya apabila bergelar juara dunia dalam acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest.

Kejayaan tersebut menyaksikan Jun Hoong berjaya memecah dominasi jagoan China dalam acara 10 meter platform wanita berkenaan.

Anugerah-anugerah ini telah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

SENARAI PEMENANG ASN 2017:

Olahragawan Kebangsaan: Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)
Olahragawati Kebangsaan: Cheong Jun Hoong (terjun)
Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Muhammad Ziyad Zolkefli (olahraga para)
Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Tiada pemenang
Pasukan Lelaki Kebangsaan: Hoki
Pasukan Wanita Kebangsaan: Boling Tenpin
Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Mohd Poad Md Kassim
Anugerah Khas: Hafizh Syahrin (Permotoran) dan Johor Darul Ta'zim (JDT)
Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk Wan Nawawi Wan Ismail
Anugerah Tokoh Sukan: Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah