KEJOHANAN Tenis Lelaki Antarabangsa (ATP) memperkenalkan sistem baharu bagi menentukan ranking dunia ketika musim kejohanan bersambung semula Ogos nanti.

Ranking ini bagi menentukan kelayakan pemain untuk beraksi dalam kejohanan itu.

Jika sebelum ini ranking 18 pemain terbaik ditentukan berdasarkan jangka masa selama 52 minggu, ia kini merangkumi tempoh 22 bulan bermula Mac 2019 hingga Disember 2020.

Gelanggang tenis antarabangsa terhenti pada pertengahan Mac dengan Kejohanan Wimbledon dibatalkan dan Terbuka Perancis ditangguhkan ke September.

Begitu juga dengan proses penilaian ranking yang turut tergendala seketika.

Kejohanan jelajah lelaki akan bersambung pada 14 Ogos dengan Kejohanan Citi Open, ATP 500 di Washington DC.

Antara elemen penting yang akan disemak semula - kedudukan pemain kini akan terdiri daripada keputusan ‘18 terbaik’ dalam tempoh 22 bulan.

ATP turut memaklumkan mata siri jelajah yang diraih pada 2020 bagi mengira ranking pemain akan kekal pada ranking pemain untuk 52 minggu, atau sehingga kejohanan akan dilakukan semula atau yang mana berlangsung terlebih dahulu.

Keputusan dicapai setelah rundingan bersama Kejohanan Grand Slam dan ITF.