EDEN HAZARD bertekad untuk menamatkan kariernya di Chelsea dengan mengetuai pasukan itu menjuarai Liga Europa menjelang aksi final menentang Arsenal di Baku, awal pagi Khamis ini.

Pemain kebangsaan Belgium itu berkemungkinan besar akan menyertai gergasi LaLiga, Real Madrid, dengan yuran perpindahan €130 juta (RM609.4 juta).

Hazard, yang telah memutuskan masa depannya dengan kelab itu awal bulan ini, mungkin akan melakukan penampilan terakhir buat skuad kendalian Maurizio Sarri itu dalam aksi final di Baku itu.

Dan pemain berusia 28 tahun itu bertekad untuk meninggalkan pasukan berkenaan dengan bergaya sebaik memberitahu wartawan: "Apabila anda beraksi dalam final, ia tidak kira sama ada ia adalah Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa atau Liga EFL kerana anda hanya mahu memenanginya.

"Jika ia adalah perlawanan terakhir saya, saya berharap dapat menjulang trofi itu.

"Trofi pertama saya dengan Chelsea adalah Liga Europa, jadi ia akan menjadi trofi terakhir yang sangat indah.

"Dengan cara kami beraksi, kami telah berkembang dalam dua bulan terakhir ini.

"Walaupun kami berdepan beberapa masalah kecederaan dan berita buruk, kami amat kuat daripada aspek mental.

"Jika kami ke Baku dengan usaha yang gigih, kami boleh melakukan sesuatu yang baik di sana," katanya.

Hazard enggan mendedahkan sama ada perpindahannya ke Madrid semakin menjadi kenyataan atau tidak dengan berkata dia hanya akan bercakap mengenai perkara itu selepas segala-galanya selesai.

"Buat masa ini, tiada apa-apa yang berlaku, jadi saya tidak boleh kata apa-apa.

"Ia terletak di tangan kelab ini, namun saya boleh mengetepikan perkara itu.

"Saya sudah beraksi sepanjang musim dan saya melakukannya dengan agak baik.

"Jadi, saya akan kekal seperti itu dan memikirkan tentang bola sepak.

"Selepas perlawanan final, kita akan melihat apa yang akan berlaku," ujarnya.

Ditanya sama ada dia akan menyertai kelab Inggeris yang lain, Hazard yang menyertai Chelsea daripada Lille pada 2012 memberikan respons spontan: "Tidak mungkin, tidak mungkin. Saya Biru.

"Ia memberikan makna yang besar buat saya.

"Saya tidak boleh bermain untuk kelab lain di negara ini."