KAPTEN Chelsea, Cesar Azpilicueta, mengakui pemergian Eden Hazard akan menjadi kehilangan besar buat pasukannya ketika juara Liga Europa itu sedang bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal buat penjaring dua gol di Baku itu.

Hazard mendedahkan selepas kemenangan 4-1 Chelsea ke atas Arsenal di Stadium Olimpik Baku, awal pagi tadi bahawa perlawanan itu mungkin aksi terakhirnya bersama pasukan berkenaan dengan perpindahannya ke Real Madrid kelihatan semakin hampir.

Olivier Giroud dan pemain sayap, Pedro, juga mencetak nama selaku penjaring yang membantu menjadikan ucapan selamat tinggal daripada bintang penyerang Belgium itu sesuatu yang akan diingati.

Hazard, 28, menyertai Chelsea daripada Lille pada 2012 dan dilabelkan sebagai salah seorang pemain terhebat di London dengan memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris selain kejuaraan Piala FA dan Eropah.

"Ia kehilangan besar buat kami, sebagai pemain dan individu," kata Azpilicueta kepada beIN Sports.

"Kami menyertai pasukan ini sejak tujuh tahun lalu, kami memenangi enam kejuaraan dan ia saat yang luar biasa di atas dan di luar padang buat saya.

"Saya hanya boleh mendoakan yang terbaik buatnya kerana dia merupakan kawan baik saya.

"Dengan keinginan yang ditunjukkannya di atas padang, kelakuannya sebagai pemain, saya berasakan semua di kelab ini menyayanginya.

"Dia bukanlah mementingkan diri, telah banyak kali saya mendengar khabar angin tentang dia akan meninggalkan pasukan.

"Dalam situasi itu, pemain lain mungkin sudah mendesak tetapi dia tidak melakukannya.

"Saya hanya boleh mengucapkan selamat berjaya dan kami akan merinduinya," katanya.

Masa depan pengurus, Maurizio Sarri, juga masih belum pasti selepas dikaitkan dengan jawatan kosong di Juventus.

Pengurus berbangsa Itali itu membantu Chelsea meraih kejuaraan utama dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah dalam percubaan pertamanya.

Namun, ketika ditanya sama ada ketua jurulatih itu patut dikekalkan, Azpilicueta menegaskan keputusan itu bukan terletak di tangannya.

"Ia bukan pilihan saya. Amat jelas Maurizio adalah pengurus kami," kata pertahanan kebangsaan Sepanyol itu.

"Kami memulakan musim ini dengan perlahan.

"Pada Ferbuari dan Mac, ia amat sukar. Kami berada di tangga keenam Liga Perdana dan semua orang menyangkakan kami tidak akan layak ke Liga Juara-Juara.

"Kami bangkit dan menamatkan musim di tangga ketiga, menjulang trofi Liga Europa dan tewas dalam penentuan penalti Piala Carabao.

"Saya berasakan jika anda melihat kepada keseluruhan musim, ia berlangsung dengan amat hebat," katanya.