Sukan mendayung merupakan antara sukan tertua dalam sejarah manusia bermula sejak zaman Greek purba lagi.

Sukan ini mula berkembang di England pada abad ke-18, dengan penganjuran perlumbaan antara bot pelombong dan berkembang pesat pada awal abad ke-19 dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi, bermula di Universiti Oxford dan Cambridge.

Dalam usaha mengangkat martabat sukan ini di Malaysia, Sungai Muar yang terletak di Bandaraya Muar dijadikan sebagai lokasi Pusat Latihan Sukan Mendayung UTHM, sekali gus menjadi medium perkongsian sukan tertua ini kepada komuniti di bandar tersebut.

Menurut Ketua Pasukan Mendayung UTHM, Arif Rusok, mereka telah menjadikan Sungai Muar sebagai pusat latihan bermula penghujung 2015 kerana jarak sungai yang lebih panjang di samping mahu memperkenalkan tentang sukan mendayung kepada masyarakat setempat.

"Hampir setiap hujung minggu pasukan kami menjalani kem latihan pusat semasa cuti semester di Sungai Muar sebagai persiapan menjalani kejohanan kebangsaan mahupun menyertai kejohanan antarabangsa.

"Kebanyakan pengunjung dan masyarakat setempat yang mengunjungi dataran Tanjung Emas, Muar sudah mengenali dan pernah mencuba untuk mendayung atau berada di dalam bot bersama pendayung UTHM, katanya.

Menurutnya lagi, rata-rata pengunjung yang hadir ke lokasi tersebut akan melihat kelibat bot pendayung UTHM yang gigih menjalani latihan di bawah cuaca panas terik menyusuri Sungai Muar.

Perkongsian ilmu sebegini patut diteruskan dalam membantu ke arah pembangunan sukan negara.
__________________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Mohd Zulfadli Rozali dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Suntingan oleh Puan Suriayati Binti Baharom.

**AWANI Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkogsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***AWANI Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM).