Tutup

Berita  | Sukan

Awas pemain bola remaja.. tanduk bola ada kaitan dengan penyakit dementia

Awas pemain bola remaja.. tanduk bola ada kaitan dengan penyakit dementia
Awas pemain bola remaja.. tanduk bola ada kaitan dengan penyakit dementia. - Gambar hiasan
SCOTLAND bakal menjadi negara pertama di Eropah ambil langkah menghalang pemain bola sepak remaja berumur 12 tahun ke bawah menanduk bola. Langkah ini diambil bagi tujuan mengelak kemungkinan timbul masalah dementia di alam dewasa kelak.

Dunia sukan digemparkan apabila satu laporan pada Oktober lalu mengaitkan gejala dementia dalam kalangan bekas pemain bola sepak profesional sebagai faktor yang menjejas kesihatan hingga membawa maut.
Menurut laporan tersebut, pemain bola sepak tiga setengah kali ganda lebih terdedah kepada risiko menghidap dementia berpunca daripada aksi tandukan.

Isu pemain bola sepak terdedah kepada penyakit dementia timbul setelah otak bekas pemain West Brom dan England Jeff Astle dibedah siasat pada 2014 – 12 tahun selepas kematiannya pada umur 59.
Astle sememangnya menghidap tanda-tanda awal dementia dan disahkan meninggal akibat dementia kronik (chronic traumatic encephalopathy atau CTE).

Sebelum ini, CTE hanya dikesan dalam kalangan ahli sukan tinju yang memang terdedah kepada tumbukan terus ke kepala. Hentakan yang bertalu-talu menyebabkan otak peninju mengalami trauma teruk.

Sebelum ini, langkah larangan yang sama dikenakan di Amerika pada 2015.

Pegawai perubatan Persatuan Bola Sepak Scotland (Scottish Football Association) John MacLean mengaku tidak terdapat bukti yang konklusif mengaitkan aksi tanduk bola dengan penyakit dementia.

Namun, Dr MacLean yang turut terlibat sebagai ahli pasukan penyelidik tentang isu ini, menyifatkan langkah berjaga- jaga merupakan tindakan munasabah.

“Kita tidak mampu hanya tunggu dan lihat – ini adalah masa untuk bertindak,” nasihat Dr MacLean.

Dr McLean mahu aksi tanduk bola dibendung bermula dalam kalangan remaja berumur bawah 12 tahun.

Tambahnya, pergerakan di padang latihan perlu pengawasan kerana aksi tanduk bola lebih banyak berlaku di luar permainan sebenar.

Sementara itu, bekas ketua pegawai eksekutif FA Scotland, Gordon Smith, menyarankan bola kulit yang diguna sekarang diganti dengan bola plastik (PVC) di padang latihan yang melibatkan remaja bawah umur 12 tahun.

APA TERJADI KEPADA OTAK APABILA MENANDUK BOLA?

Sebiji bola beratnya hampir setengah kilogram dan boleh mencapai kelajuan hingga 128 kilometer sejam (kmsj) apabila singgah dan melantun di kepala pemain bola sepak.

Apabila singgah di kepala, otak yang sebenarnya terapung dalam kaviti tengkorak akan melantun ke dinding belakang dan mengakibatkan kelebaman.

Satu kajian University of British Columbia pada 2018 mendapati, saluran darah mengandungi protein, dan  dikaitkan dengan kerosakan sel saraf bertambah setelah berlaku aksi hentaman di kepala.

Sekali tanduk mungkin tidak memudaratkan, tetapi jika dihimpun jumlah tandukan sepanjang karier permainan, sudah tentu mampu memberi kesan parah pada kemudian hari.


Tag: dementia, tanduk bola, bola sepak, kesihatan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.