Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berjaya menebus kekecewaan meraih gangsa di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang apabila merangkul pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara 2018 di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Lebih manis, kejayaan juara dunia keirin 2017 itu turut menyaksikan dendamnya terhadap pemenang pingat emas keirin Sukan Asia 2018 dari Thailand, Jai Angsuthasawit terbalas selepas pelumba muda itu menamatkan saingan final di kedudukan kelima.

Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan, Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman', mengakui tidak memikirkan soal membalas dendam sebaliknya hanya fokus dalam usahanya mempertingkatkan prestasi menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya turun berlumba pada kejohanan ini tanpa fokus untuk menebus kekalahan atau apa sahaja yang telah berlaku di Sukan Asia. Episod di sana (Jakarta) sudah habis.

"Biasalah dalam perlumbaan boleh ada kesilapan dan ada ketika kita tidak bernasib baik jadi semua itu sudah dinilai dan kini masa untuk perbaiki segala kelemahan tersebut dan fokus terhadap misi membawa pulang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Pingat perak acara itu dimenangi pelumba Indonesia, Puguh Admadi sementara gangsa menjadi milik pelumba Taiwan, Shih Hsin Hsiao.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, John Beasley tidak mahu peminat sukan berbasikal negara terus membandingkan dua pelumba tersebut sambil menyifatkan Mohd Azizulhasni berada di satu tahap yang berbeza sebagai antara pelumba terbaik dunia.

Katanya, tumpuan serta kerja keras Mohd Azizulhasni serta skuad negara kini adalah terhadap usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 selain mencipta kejayaan di pentas Kejohanan Asia 2019 Januari depan diikuti Kejohanan Dunia 2019 pada Februari depan.

"Pelumba Thailand ini bertuah di Sukan Asia. Dia bukan ancaman kepada kami dan anda dapat melihat Azizulhasni mudah mengalahkannya hari ini. Azizulhasni adalah juara dunia dan banyak kalim menaiki podium di pentas dunia. Oleh itu hentikan perbandingan antara mereka.

Bagi kami apa yang lebih penting adalah kelayakan ke Sukan Olimpik selepas ini. Walaupun belum berada pada tahap terbaik namun kami menuju ke arah itu. Kami ada pasukan terbaik Asia dengan salah seorang pelumba terbaik di dunia," katanya.

Sebagai rekod, Mohd Azizulhasni turut membawa pulang emas dalam acara pecut pada Kejohanan Trek GP Asia Tenggara 2018 yang berakhir hari ini selepas mudah menewaskan Admadi pada aksi final semalam.