ATLET angkat berat negara, Muhammad Azroy Hazal Wafie, memasang impian besar dengan kemampuannya memburu pingat dalam Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April 2018.

Azroy mengesahkan tempat di Gold Coast tahun depan selepas memenangi emas kategori 56kg dalam Kejohanan Negara-Negara Komanwel di Australia, bulan lalu, yang juga pusingan kelayakan untuk ke Sukan Komanwel.

Sehubungan itu, atlet berusia 23 tahun berkenaan percaya rentak itu dapat dikekalkan dalam tempoh enam bulan menuju ke Sukan Komanwel walaupun program latihan untuk dirinya masih belum diperhalusi.

"Bagi saingan saya selepas ini, mungkin jurulatih akan mengajak saya keluar untuk persiapan ke Sukan Komanwel. Saya sudah berada di ranking nombor satu dalam Komanwel.

"Kalau saya mengekalkan prestasi, mungkin saya akan mendapat pingat emas buat Malaysia. Saya akan berusaha selagi boleh, selagi mampu. Mohon banyak berdoa buat rakan-rakan seperjuangan saya," katanya.

Kejayaan dalam Kejohanan Komanwel itu merupakan sebahagian daripada aksi cemerlang yang dipamerkan Azroy sepanjang tahun ini, selain turut merangkul emas dalam Terbuka Australia, Mac lalu.

Sementara itu, dalam Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu, dia menduduki tempat keempat.

Tumpuan utamanya kini adalah untuk memastikan dia mampu memberi saingan dalam Kejohanan Dunia di California, Amerika Syarikat, bulan depan.

"Pertandingan tahun ini sudah tidak banyak, mungkin ada lagi dua. Antaranya Kejohanan Dunia bulan depan. Ia bergantung kepada saya, kalau saya larat saya akan pergi. Kalau Program Podium hantar, saya akan pergi.

"Selepas itu, kami ada Kejohanan Antarabangsa Malaysia di Langkawi pada bulan Disember. Di situ ada negara jemputan, Jepun dan Indonesia. Ia kejohanan terakhir dan selepas itu, saya akan membuat persiapan dalam masa empat bulan untuk Sukan Komanwel."