Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan permohonan khas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum sambutan Aidilfitri, bagi membolehkan skuad badminton negara memulakan latihan persediaan 'Road To Tokyo' (RTT) seawal 1 Jun ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, bagaimanapun berkata tarikh sebenar atlet yang terlibat dengan RTT memulakan latihan bergantung kepada kelulusan daripada MKN dan KKM.

Bagi tujuan permohonan khas itu, Reezal melakukan tinjauan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini untuk melihat persediaan dan langkah pencegahan yang akan diambil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam menanggani wabak COVID-19, jika mendapat kebenaran untuk memulakan latihan lebih awal.

"Langkah proaktif yang akan diambil oleh BAM adalah bagus kerana apa paling penting kita mahu pastikan bahawa satu prosedur operasi standard (SOP) yang tidak hanya disediakan tetapi untuk memerhati dan mematuhi.

"Daripada taklimat oleh BAM tadi, pemain akan melalui proses saringan setiap hari sebelum dibenarkan masuk ke ABM, fasiliti akan melalui proses sanitasi dan nyahkuman, serta kontak antara orang luar dan mereka yang berada di ABM akan diminimumkan.

"Begitu juga dengan perkhidmatan sokongan seperti Institut Sukan Negara (ISN), pegawai sukan dan kesihatan, logistik dan penyediaan makanan. Mereka akan melalui protokol serta SOP yang ketat," katanya selepas melakukan tinjauan di ABM, di sini.

Reezal menjelaskan hanya 16 pemain dan enam jurulatih akan terlibat dengan program latihan tersebut, selain dianggarkan lebih kurang 50 orang akan terlibat dalam perkhidmatan sokongan.

Sebelum ini, Reezal meminta persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang memerlukan fasiliti latihan khas bagi atlet terlibat dengan RTT untuk menghantar permohonan menerusi KBS untuk dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri selepas sambutan Aidilfitri nanti untuk cadangan latihan pusat sukan berprestasi tinggi RTT.

"Kita mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana terdapat sukan tertentu yang masih tidak diberikan kelonggaran dan kebenaran untuk memulakan latihan.

"Namun KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN telah berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta persatuan sukan berkaitan untuk mengemukakan permohonan secara berasingan bagi mendapatkan kelonggaran dan kelulusan yang berasingan khas untuk program RTT," katanya.

-- BERNAMA