SUKAN
Badminton: Malaysia sebati dengan sistem 21 mata - Norza

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, sekiranya BWF inginkan keputusan Malaysia, beliau bersedia membawa perkara itu dalam mesyuarat Jawatankuasa BAM. - fotoBERNAMA / Fail
Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mahu sistem kiraan 21 mata dalam sukan itu dikekalkan.
Beliau berpendapat sistem sekarang lebih seimbang dan sudah sebati dengan negara ini berbanding sistem kiraan 11 mata yang bakal diperkenalkan oleh Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
"Bagi saya sistem kiraan mata sekarang harus dikekalkan kerana ia merangkumi kekuatan fizikal, mental selain memerlukan tahap kecergasan pemain semaksima mungkin yang sinonim dengan sukan ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Mohamad Norza, sekiranya BWF inginkan keputusan Malaysia, beliau bersedia membawa perkara itu dalam mesyuarat Jawatankuasa BAM.
Kejohanan Badminton Antarabangsa Malaysia Celcom Axiata Bawah 19 tahun yang akan berlangsung pada 6-9 Sept ini di Stadium Negeri, Kuala Terengganu bakal menjadi medan uji kaji sistem kiraan 11 mata itu.
Seramai 170 peserta lelaki dan wanita dari 10 negara akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Konfederasi Badminton Asia (BAC), Kenny Goh mengesahkan bahawa BWF telah meminta semua ahli gabungannya untuk melaksanakan uji kaji itu sekiranya berminat.
"Selepas itu BAC akan meneliti laporan dan maklum balas daripada uji kaji tersebut. Yang paling penting, uji kaji ini perlu dilaksanakan dahulu, selepas itu baru kita boleh menilai untuk mengekalkan sistem yang sedia ada ataupun memperkenalkan sistem 11 mata ini," katanya.
Kenny menjelaskan pelbagai aspek bakal diambil kira sebelum sesuatu keputusan atau sistem baharu diperkenalkan.
"Antara aspek yang bakal dilihat ialah maklum balas dari pemain itu sendiri selain tempoh masa perlawanan yang sangat dititikberatkan," katanya sambil menafikan ura-ura pengenalan sistem baharu itu adalah untuk memecahkan dominasi Asia dalam sukan tersebut.
Untuk rekod, sistem 21 mata dalam tiga set terbaik yang diguna pakai sekarang telah dipraktikkan sejak 2006, empat tahun selepas badan induk dunia itu yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) memperkenalkan sistem tujuh mata menerusi lima set terbaik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami