Berita  | Sukan

BAM cari calon pengarah kejurulatihan

BAM cari calon pengarah kejurulatihan
NG: Sebelum mesyuarat C&T, beberapa nama telah dikemukakan tetapi oleh kerana skop kerja belum selesai, kami memilih untuk tidak memberitahu nama mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang mencari calon yang sesuai sebagai pengarah kejurulatihan.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Ng Chin Chai berkata calon berkenaan mestilah orang yang dapat mengendalikan seluruh skuad badminton dari jurulatih hinggalah kepada pemain secara sepenuh masa.

Beliau berkata dalam mesyuarat selama tiga jam pada Rabu, jawatankuasa bersetuju bahawa dengan mempunyai pengarah kejurulatihan, program latihan akan lebih efektif dan lebih fokus kepada pencapaian yang memberangsangkan pada kejohanan-kejohanan utama.

"Kita akan mengumumkan deskripsi tugas. Kita baru sahaja membincangkan mengenai perkara tersebut hari ini dan kita akan mengiklankannya tidak lama lagi.

"Sebelum mesyuarat C&T, beberapa nama telah dikemukakan tetapi oleh kerana skop kerja belum selesai, kami memilih untuk tidak memberitahu nama mereka.

"Tiada pemohon bagi jawatan itu dan tiada mana-mana individu yang dikenal pasti...kita baru di peringkat awal," kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat C&T pada Rabu.

Chin Chai menyatakan bahawa deskripsi kerja bagi pengarah kejurulatihan adalah berbeza daripada bekas pengarah teknikal sebelumnya, Morten Frost Hansen.
Beliau berkata tiada tempoh tertentu untuk mencari calon tersebut tetapi yang pasti pemilihannya dilakukan sebelum Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

"Tiada tempoh tertentu tetapi pasti sebelum Sukan Olimpik 2020 kerana matlamat utama kita ialah Olimpik 2020," kata beliau.

Beliau berkata sementara menanti pemilihan pengarah kejurulatihan, para jurulatih telah diberitahu untuk memupuk disiplin dan kualiti latihan yang tinggi serta menggerakkan semula program latihan.

Chin Chai yang juga setiausaha BAM berkata beliau telah meminta Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin menyiasat laporan mengenai dakwaan berlaku kegiatan pertaruhan dan jurulatih yang tidak menjalankan tugas mereka.

"Kita telah meminta jawatankuasa peraturan dan disiplin menyiasat dakwaan tersebut di atas kertas sama ada tuduhan itu benar atau tidak, jika benar, siapakah mereka dan tindakan sewajarnya harus diambil," kata beliau.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, skuad badminton negara gagal mencapai sasaran meraih dua pingat.

Pemain-pemain negara gagal melepasi peringkat suku akhir dan juga gagal memenangi sebarang pingat buat kali pertama dalam masa 32 tahun sejak Sukan Asia 1986 di Seoul.

Selain itu, mereka gagal mempertahankan gelaran keseluruhan di Sukan Komanwel di Gold Coast pada April dan tercicir daripada sasaran tiga emas dan juga gagal melangkah ke separuh akhir pada Final Piala Thomas apabila tewas di peringkat suku akhir di Bangkok, Thailand, pada Mei.

Tiada seorang pun pemain BAM yang kembali dengan membawa kecemerlangan pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China, awal bulan ini tetapi mujurlah pemain perseorangan lelaki, Liew Daren menyelamatkan maruah negara dengan merangkul gangsa dalam acara perseorangan lelaki.

Beliau berkata, BAM akan mengkaji semula status beberapa pemain terutama pemain senior secara berkala dan mereka telah diberi kata dua bahawa mereka perlu menduduki podium pada acara-acara utama.

Beliau menyenaraikan beberapa acara utama tahun depan iaitu Kejohanan Dunia, Sukan SEA, Piala Sudirman dan Kejohanan Berpasukan Asia.

"Jadi, para pemain senior telah diberi kata dua... mereka perlu meraih pingat, jika tidak, kita akan mengeluarkan mereka secara beransur. Kita tidak akan menunggu sehingga Sukan Olimpik 2020," kata beliau.

Chin Chai juga berkata skuad negara harus keluar dari zon selesa dan bekerja keras bagi memperbaiki pencapaian mereka. 

— BERNAMA