Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menyuarakan rasa sedih dengan insiden nahas jalan raya yang melibatkan pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun, awal pagi ini.

Pemain perseorangan berumur 25 tahun itu mengalami kecederaan patah hidung di samping luka dan melecet di bahagian mukanya, akibat nahas yang menimpa pasukan dari Jepun, yang sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Presiden BAM Datuk Seri Norza Zakaria ketika dihubungi berkata pemain itu sedang dalam tempoh pemerhatian rapi di wad Hospital Putrajaya.

"Doktor mengkategorikan ia sebagai kecederaan ringan, dan mereka akan benarkan dia keluar dari wad sebaik sahaja semuanya beres nanti. Kecederaannya tidak memerlukan sebarang pembedahan," katanya kepada Bernama di sini.

Dalam kejadian pukul 4.40 pagi tadi, van yang membawa empat penumpang termasuk Momota, sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) apabila ia melanggar belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan di KM13.7 Lebuhraya MEX, mengakibatkan pemandu van B. Nageswarau, 24, yang tersepit di tempat duduknya, mati di tempat kejadian.

Selain Momota, 25, tiga lagi penumpang van itu yang turut mengalami kecederaan ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, dan William Thomas, 30, pegawai teknikal Persekutuan Badminton Dunia.

Sementara itu BAM dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan Hospital Putrajaya, bagi memastikan perkhidmatan rawatan perubatan terbaik diberikan kepada bintang badminton itu.

Kejadian berlaku semasa Momota sedang dalam perjalanan kembali ke Jepun selepas menjuarai kejohanan Masters Malaysia buat julung kalinya dengan menumpaskan bekas juara dunia dari Denmark Viktor Axelsen di peringkat final.

Terdahulu beliau menarik diri daripada kejohanan Masters Indonesia yang dijadual berlangsung mulai esok sehingga Ahad di di Istora Senayan, Jakarta, dikatakan atas sebab-sebab kesihatan.

Momota, yang mengungguli ranking dunia sejak hujung September 2018 dan juara Kejohanan Dunia pada tahun 2018 serta 2019, merupakan pilihan utama Jepun yang mengharapkan gelaran juara acara perseorangan lelaki kejohanan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi milik negara itu.

-- BERNAMA