PENYERANG skuad B-23 negara, N. Thanabalan, merayu kepada peminat agar membantunya mencari keretanya yang hilang.

Thanabalan menerusi akaun Facebooknya memuat naik sekeping fotonya dengan kereta Proton Iswara -- berwarna biru dengan nombor pendaftaran TQ5198 -- yang dilaporkannya hilang di sekitar Batu Caves, jam 5 pagi semalam.

Semalam, penganut agama Hindu menyambut Hari Thaipusam di Batu Caves.

Bakal menyarung jersi Negeri Sembilan musim ini, jasa kereta berkenaan sempat menjadi perhatian peminat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur lalu susulan pendedahan mengenai pengorbanan Thanbalan terhadap ayahnya yang lumpuh di Negeri Sembilan.

Memetik daripada mstar, Thanabalan telah membuat laporan polis dan berharap kereta itu tetap dijumpai meskipun hanya tinggal rangka.

"Memang kalau nak bandingkan dengan kereta lain, saya beli Iswara tu murah sahaja. Tetapi ia bukan sebab mahal atau murah, nilai sentimental lebih penting.

"Saya anggap itu seperti tuah saya sebab lepas saya beli, keadaan hidup saya makin berubah dan prestasi saya dalam bola sepak semakin baik," katanya.

Sejam yang lepas, penggempur itu menafikan kononnya keretanya telah dijumpai.

Ini insiden kedua dalam minggu ini selepas kereta pemain tengah Kedah, Ariff Farhan, dilaporkan hilang di kawasan meletak kereta Stadium Darulaman.