Tutup

Berita  | Sukan

Bekas atlet Paralimpik negara mohon diberi ruang untuk berdikari

Bekas atlet Paralimpik negara mohon diberi ruang untuk berdikari
Sepanjang 2001 sehingga 2005 mewakili negara, Koh (kanan) telah meraih tujuh pingat emas dan tiga pingat perak. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Seorang bekas atlet renang paralimpik negara mohon agar rakyat Malaysia menghormati dan memberi ruang untuknya berdikari dalam usaha mencari rezeki.

Koh Lee Peng, 46, berkata beliau sering diganggu malah dituduh sebagai pendatang asing yang cuba mengambil kesempatan meminta sedekah di negara ini.

Sejak lima bulan lalu, Koh berniaga secara kecil-kecilan di atas kerusi rodanya dengan menjual minuman, tisu muka dan sebagainya di depan Maybank Bandar Perda, Bukit Mertajam.

"Saya sudah dewasa, saya perlu berdikari. Kadang kala hati saya sedih dan sakit. Orang Malaysia sendiri menuduh saya pendatang asing dari Indonesia, Filipina, dan sebagainya," kata Koh kepada pemberita di sini pada Ahad.
Kata Koh, kad pengenalannya juga pernah dilarikan oleh seorang individu yang tidak dikenali namun beliau tidak sempat untuk menghentikan individu itu kerana tidak mampu untuk berjalan tanpa bantuan peralatan

Koh yang menghidap palsi serebrum semenjak kecil berkata beliau memperolehi sekitar RM800 sebulan daripada hasil penjualannya. Beliau juga menerima bantuan bulanan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sebanyak RM300.
Sepanjang 2001 sehingga 2005 mewakili negara, Koh telah meraih tujuh pingat emas dan tiga pingat perak.

Dalam pada itu, bekas atlet bola sepak negara V Krishnasamy, 71, bakal menerima kaki palsu yang bernilai RM10,000 setelah menjalani pembedahan pemotongan kakinya akibat diabetes.

Beliau juga sebelum ini telah menerima pelbagai bantuan kewangan dan perubatan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Yakeb.

Anaknya, K Thanaselan, 43, hari ini menggesa agar semua pihak terutamanya pengguna media sosial untuk menghentikan spekulasi berkenaan pengabaian Krishnasamy oleh keluarga dan KBS.

Kisah Krishnasamy menjadi tular di media sosial tidak lama dahulu dengan dakwaan atlet veteran itu telah diabaikan.

"Situasi sebenarnya adalah dia (Krishnasamy) terpaksa duduk di sini (rumah penjagaan) supaya dia dijaga dengan lebih baik. Ibu saya juga sakit kini dijaga oleh kakak saya... kalau semua orang pergi kerja, siapa nak jaga ayah?" kata Thanaselan.

Koh, Krishnasamy, serta veteran-veteran atlet lain telah menerima bantuan KBS melalui Yakeb dalam satu majlis penyerahan bantuan yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim di Rumah Jade, Gelugor sini.

-- BERNAMA