Berita  | Sukan

Bekas pemain JDT Zaquan Adha sertai pasukan Bos Gaurus

Bekas pemain JDT Zaquan Adha sertai pasukan Bos Gaurus
Mohd Zaquan Adha (kanan) akan menyertai pasukan Perak bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2017. -Gambar fail
IPOH: Bekas Penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak akan menyertai pasukan Perak bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2017.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata anak kelahiran Negeri Sembilan berusia 29 tahun itu telah menandatangani kontrak dengan pasukan The Bos Gaurus.

"Kita akan meletakkan Zaquan di posisi penyerang berikutan pengalamannya ketika menyertai pasukan JDT sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Kongres Tahunan PAFA ke-58 di sini hari ini.
Zaquan Adha mula menempa nama ketika menyertai pasukan Negeri Sembilan sebelum bersama JDT II pada 2014.

Menurutnya, The Bos Gaurus juga mendapatkan khidmat 13 lagi muka baharu antaranya Mohd Nazrin Mohd Nawi (JDT), Jaszrin Jamaluddin (JDT), Mohd Shahrom Abdul Kalam (Selangor), Mohd Hafiz Kamal (Selangor) dan Idris Ahmad (Felda United).

Beliau berkata Perak juga sudah mengikat dua awang import baharu iaitu pemain Bulgaria, Vladislav Mitkov Mirchev dan pemain Palestin kelahiran Chile, Yashir Pinto Islame.

"Perak akan mendapatkan seorang lagi pemain import dan nama itu dijangka diumumkan hujung tahun ini," katanya.

Abdul Puhat berkata mengikut senarai nama ini, beliau meletakkan harapan tinggi untuk mengekalkan prestasi pasukan itu bagi mencapai sasaran Perak dalam saingan Liga Malaysia 2017. -- BERNAMA