Tutup

Berita  | Sukan

Bekas presiden Real Madrid akhirnya dedah punca pemergian Ronaldo dan Zidane

Bekas presiden Real Madrid akhirnya dedah punca pemergian Ronaldo dan Zidane
Real Madrid tidak seperti dahulu ketika dua sosok ini bertakhta di Santiaga Bernabeu. - Gambar fail/REUTERS/Kai Pfaffenbach
MUSIM PANAS 2018 menyaksikan dua tonggak utama meninggalkan Santiago Bernabeu, dan presiden Real Madrid Florentino Perez didakwa sebagai puncanya.

Bekas presiden kelab gergasi Sepanyol itu, Ramon Calderon mendakwa bahawa Cristiano Ronaldo meninggalkan Real kerana tidak gembira dengan usaha kelab itu yang cuba menghambat Neymar ditambah keengganan Perez untuk menawarkan kontrak baharu kepada kapten Portugal itu.
Ia menyebabkan Ronaldo membuat keputusan untuk meninggalkan ibu kota Sepanyol untuk menyertai juara Itali, Juventus.

Difahamkan juga bahawa pemenang lima kali Ballon d’Or itu telah membuat keputusan untuk berhijrah beberapa bulan lebih awal sebelum perjanjian dengan kelab berpangkalan di Turin itu dimeterai.
“Cristiano memohon supaya gajinya dinaikkan selepas memenangi Liga Juara-Juara Eropah namun Perez menolaknya. Cristiano juga marah kerana dia dengar bahawa Madrid sanggup membayar harga yang tinggi untuk Neymar.

“Malah Florentino memberitahu bahawa jika Ronaldo dapat membawa masuk cek bernilai 100 juta Euro, dia akan membenarkan Ronaldo pergi, begitulah ceritanya,” kata bekas orang nombor satu Los Blancos itu kepada Radio Villa Trinidad.

Calderon juga mendakwa bahawa Perez tidak boleh menerima hakikat bahawa Ronaldo adalah pembeliannya ketika Calderon menduduki kerusi presiden.

“Saya tidak menafikan bahawa dia (Perez) adalah presiden yang hebat untuk Madrid, tetapi dia tidak dapat menerima dengan baik apa yang diwarisi kepadanya. Perkara sama berlaku dengan (Iker) Casillas, (Arjen) Robben dan (Wesley) Sneijder,” ujarnya.

Perez juga dikatakan bertanggungjawab kepada pemergian Zinedine Zidane dari kerusi pengendali pada penghujung musim 2017/2018.

Legenda Perancis itu melakar nama sewaktu menjadi pemain Madrid, dan mengundur diri selepas menghadiahkan tiga kejuaraan UCL untuk tiga musim berturut-turut.

Dakwa calderon, Zidane mungkin akan terus kekal andai permintaannya ditunaikan lembaga pengurusan Los Blancos.

Real bergelut untuk berada di prestasi terbaik selepas itu, di mana Julen Lopetegui hanya mampu bertahan selama beberapa bulan sebelum digantikan Santiago Solari yang masih mencuba membina kestabilannya.

“Sebagai jurulatih, Solari sedang melakukan segala yang terdaya. Dia tidak patut dituduh atas situasi buruk yang melanda kelab. Dia bergelut dengan apa yang diberikan kepadanya.

“Ianya jelas bahawa Zidane meminta Florentino Perez sesuatu yang tidak ditunaikan, antaranya adalah supaya Cristiano tidak meninggalkan kelab,” jelasnya.


Tag: Real Madrid, Ramon Calderon, Florentino Perez, presiden, Los Blancos, Cristiano Ronaldo, Zinedine Zidane, Santiago Bernabeu, Juventus, bola sepak



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.