SEORANG sahaja lagi pelumba menjadi halangan buat pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, dalam memburu pingat emas acara pecut individu lelaki saingan Sukan Asia 2018.

Azizulhasni meneruskan kemaraan ke final selepas menewaskan wakil Korea Selatan di separuh akhir, namun impian untuk berentap dengan rakan sepasukan lebur apabila Shah Firdaus Sahrom terkandas.

"Setiap individu mempunyai muslihat dan taktik tersendiri. Banyak aspek yang diperlukan untuk memainkan psikologi terhadap lawan.

"Di atas kertas, Im Chae-bin lebih pantas tetapi saya menyainginya daripada segi taktikal. Tadi, saya tidak berdepan masalah dan yakin mampu menewaskannya.

"Sejak awal perlumbaan, Chae-bin telah tewas daripada segi mental," kata Azizulhasni.