Tutup

Berita  | Sukan

Bernardo Silva digantung satu perlawanan oleh FA

Bernardo Silva digantung satu perlawanan oleh FA
Silva diundi sebagai pemain terbaik City musim 2018-19 selepas mereka melengkapkan tiga kejuaraan domestik sebelum menyinar sewaktu Portugal memenangi edisi sulung Liga Negara-Negara Eropah. REUTERS/Gambar Fail
PEMAIN tengah Manchester City, Bernardo Silva, telah diberi penggantungan satu perlawanan sebagai hukuman susulan ciapan berbaur perkauman yang dilakukan September lalu selepas disahkan oleh Persatuan Bola Sepak England (FA).

Pihak FA mendakwa Silva pada awal bulan lalu dan pemain Portugal itu mengaku bersalah telah melanggar Peraturan E3.
Silva, 25, bakal terlepas aksi City di laman sendiri menentang Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas tempoh rehat antarabangsa sambil dia turut dikenakan denda GBP50,000 (RM266,634) serta perlu melengkapkan kelas pendidikan.

Bekas pemain Monaco itu meletakkan ciapan -- sebelum memadamkan -- gambar rakan sepasukannya, Benjamin Mendy, sewaktu kecil bersebelahan foto gula-gula Sepanyol, Conguitos, sehingga mengundang kritikan.
Wakil pihak FA berkata: "Aktiviti media sosial melibatkan pemain tengah Manchester City pada 22 September 2019 telah melanggar peraturan E3 FA tatkala ia berunsur penghinaan dan/atau mewujudkan perakra yang tidak sesuai. Ia juga melanggar tatatertib dengan melampau seperti yang disebutkan dalam Peraturan E3 FA dan ia berserta rujukan, sama ada jelas atau tidak, melibatkan bangsa dan/atau warna kulit dan/atau asal etnik."

Selepas dakwaan dikenakan terhadap Silva, Mendy menulis sepucuk surat mempertahankan rakan karibnya itu dan menegaskan dia tidak mengambil hati dengan insiden tersebut.

Raheem Sterling turut mempertahankan rakan sepasukannya itu secara terbuka walaupun tindakan pengurus City, Pep Guardiola, selepas itu kelihatan membangkitkan isu tersebut.

Dalam tulisan oleh Pesuruhjaya Peraturan Bebas yang diberikan kepada FA, Silva telah menampilkan perwatakan baik dan memberikan kerjasama sambil menerima bahawa pemain itu tidak berniat untuk memalukan sesiapa atau membangkitkan isu berkaitan perkauman memandangkan dia membesar di dalam negara yang menyaksikan jenama dan watak berkenaan begitu dikenali.

Mereka menambah: "Bagaimanapun, ia bukan perbualan lawak di antara dua rakan, ia diletakkan dalam media sosial dan dipamerkan kepada 600,000 pengikut memandangkan Silva adalah pemain bola sepak profesional dan berprofil tinggi.

"Ia cepat dilihat dan dilaporkan berdasarkan elemen media. Untuk pujian, pemain itu telah memadamkan ciapan tersebut daripada akaunnya dalam tempoh sekitar 45 minit."

Silva diundi sebagai pemain terbaik City musim 2018-19 selepas mereka melengkapkan tiga kejuaraan domestik sebelum menyinar sewaktu Portugal memenangi edisi sulung Liga Negara-Negara Eropah.

Dia menjaringkan gol kelima dalam Liga Perdana Inggeris musim ini sewaktu tewas 3-1 di tangan pendahulu, Liverpool, di Anfield, hujung minggu lalu.





Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro