Tutup

Berita  | Sukan

Bersara atau tidak, tunggu Sukan Asia 2022, kata Shalin

Bersara atau tidak, tunggu Sukan Asia 2022, kata Shalin
Shalin tidak mungkin meninggalkan terus sukan boling yang mula dikenalinya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Desas desus menyatakan penganjur Sukan Asia 2022 berkemungkinan tidak menyenaraikan salah satu daripada acara 'lubuk emas' Malaysia, tenpin boling pada temasya sukan itu yang bakal berlangsung di Hangzhou, China.

Jika khabar angin itu benar, mungkinkah temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia adalah detik terakhir peminat sukan tanah air melihat kelibat ratu boling negara, Shalin Zulkifli menyarung jersi 'Malaysian Heroes'?
Daripada bicara atlet berusia 41 tahun itu seperti memberi bayangan untuk mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan jika Hangzhou benar-benar mahu menggugurkan acara sukan itu yang telah menjadi darah dagingnya selama 29 tahun.

Namun, sudah terbiasa dengan rutin ke gelanggang boling sejak berusia 12 tahun, Shalin tidak mungkin meninggalkan terus sukan boling yang mula dikenalinya ketika mengikuti ibu bapa menjalani latihan pada usia sembilan tahun.
Malah, beliau sudahpun membuat perancangan awal untuk terus menabur bakti kepada sukan itu tidak kira dalam bidang kejurulatihan mahupun di peringkat pengurusan.

"Perasaan ingin bersara sentiasa ada tapi masih belum masanya lagi. Sebenarnya, selepas Sukan Asia 2018 di Jakarta saya sudah mahu bersara tapi presiden (Kongres Tenpin Boling Malaysia Datuk Dr P. S. Nathan) minta saya teruskan lagi setahun sebab Sukan SEA Filipina pada November ini.

"Saya rasa, kalau bersara pun hanya daripada skuad kebangsaan tapi saya akan terus bergiat aktif seperti bermain dalam sirkit kebangsaan. Saya tidak akan tinggal sukan ini sepenuhnya, ia sudah menjadi darah daging saya," katanya kepada Bernama.

Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia tujuh tahun hasil perkahwinan dengan bekas pemain boling lelaki negara Azidi Ameran itu, pernah menjadi pemain nombor satu Asia, dan pemenang pingat emas empat kali di Sukan Asia.

Pemain veteran itu juga pernah mencipta sejarah tersendiri pada 2001 apabila menjadi wanita pertama muncul juara pada Kejohanan Boling Dunia Masters (eng: World Tenpin Masters) di Essex, England selepas mengalahkan Tore Torgersen (he) dari Finland.

"Jika nak kata saya akan fokus kepada kejurulatihan sahaja, tidak juga sebab dalam fikiran saya terlalu banyak benda mahu dilakukan. Kalau boleh nak sambung belajar dan pada masa sama saya minat bahagian pentadbiran kerana sekurang-kurangnya sebagai bekas atlet nanti, saya boleh suarakan pendapat atlet kepada pihak atasan," katanya.

Mengulas mengenai desas desus acara tenpin boling tidak akan dipertandingkan di Huangzhou, Shalin berkata perkara itu akan memberi kesan kepada skuad kebangsaan, termasuk dari segi peruntukan bagi membiayai atlet bersaing di kejohanan antarabangsa.

"Kita perlukan dana yang banyak untuk pendedahan kejohanan di luar negara. Dana tersebut akan diperoleh melalui penyertaan di Sukan Asia. Jika sukan kita tidak ada dalam Sukan Asia, maka tiada dana untuk kami. Kami terpaksa gunakan duit sendiri jika mahukan pendedahan.

"Mungkin rakan sepasukan akan ikut jejak langkah saya (bersara). Latihan berterusan itu perlu tapi pendedahan pada kejohanan bertaraf dunia juga penting walaupun menggunakan duit yang banyak," katanya.

Untuk rekod, Shalin setakat ini mengumpul 20 pingat emas pada Sukan SEA di belakang bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah yang memegang rekod sebagai pemenang pingat emas terbanyak, 22 emas sepanjang penyertaan pada Sukan SEA antara 1983 dan 1989.

-- BERNAMA


Tag: shalin zulkifli, pemain boling, boling, persaraan, atlet negara, wakil negara, sukan asia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.