Penyokong pasukan bola sepak Malaysia diminta untuk terus bersabar bagi beberapa tahun sehingga pemain yang sedia ada hari ini bersara dan diganti dengan pemain baharu jika mahu Malaysia perbaiki kedudukannya dalam Ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata kemampuan skuad bola sepak pada hari ini adalah terlalu terhad dan tiada apa-apa yang boleh dilakukan lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan ranking FIFA Malaysia yang terus merudum di posisi ke-168, selepas jatuh enam anak tangga berbanding Jun lepas.

Tambah Khairy, ini merupakan satu perkara yang sudah dijangkakan memandangkan sejak sebulan ini tidak ada kemenangan besar diraih skuad kebangsaan.

“Bagi saya ia bukanlah perkara yang mengejutkan. Saya pun telah sebut banyak kali bahawa barangkali untuk lima, atau sepuluh tahun akan datang, kita tidak dapat memperbaiki ranking pasukan bola sepak kita dengan mendadak sekali, sebab potensi pemain yang ada pada hari ini adalah tidak berapa tinggi.

“Kita kena tunggu produk-produk muda daripada Harimau Muda, NFDP (National Football Development Programme Malaysia), sebelum kita lihat ranking kita naik. Skuad yang ada pada hari ini, kemampuan mereka setakat itu sahajalah. Tidak ada apa-apa yang boleh kita buat.

“Jadi saya minta penyokong bola sepak negara kita bersabarlah untuk beberapa tahun, dan menunggu pemain-pemain yang ada pada hari ini bersara dan diganti dengan pemain-pemain baharu,” tambah beliau dalam satu sidang media hari ini selepas melancarkan Youth Trailblazer Challenge 2015 hari ini di Galeri Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.

Sebelum ini dalam laporan Bernama, dalam kalangan negara Asia, Malaysia kini berada dalam kelompok bersama pasukan Bangladesh yang berada di ranking ke-169, Yaman (171), Pakistan (172), Laos (177), Kemboja (181) dan Brunei (184).

Kedudukan skuad kendalian Dollah Salleh itu berikutan kekalahan besar 0-6 kepada Palestin dan seri 1-1 menentang Timor Leste pada kelayakan Piala Dunia Rusia 2018.

Iran muncul pasukan terbaik dalam kalangan negara Asia apabila berada di ranking ke-39, diikuti Jepun (50), Korea Selatan (52) dan Australia (59).