Harapan Malaysia untuk mengejutkan gergasi Asia, Jepun, dalam pusingan 16 Sukan Asia 2018 lebur apabila tewas 1-0 hasil jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Ayase Ueda, malam tadi.

Malaysia masih mempertaruhkan gandingan trio yang memusnahkan Krygyzstan dalam aksi pertama apabila menurunkan gandingan serangan SAS -- Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad -- di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi.

Selain ancaman Yuto Iwasaki ketika perlawanan baru berusia lapan minit, Jepun dilihat gagal menembusi benteng skuad negara yang diterajui oleh Adam Nor Azlin.

Skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee tampak lebih cenderung untuk bertahan dalam usaha mengekang serangan lawan yang banyak berpunca daripada Reo Hatate dan Daizen Maeda.

BACA: Kim Swee akui jurang Malaysia dan Jepun kecil

Safawi berpeluang untuk mengejutkan Jepun 11 minit selepas rehat apabila serangan balas yang menyaksikan Akhyar melorongkan bola buat penggempur Johor Darul Ta'zim (JDT) itu disudahkan dengan rembatan kiri yang sipi di pintu gol dan Akhyar juga sekadar melihat percubaan kaki kanannya tersasar, seminit kemudian.

Malaysia semestinya berada di depan pada minit ke-59 seandainya hantaran lintang Safawi dari sebelah kiri dapat dikuis oleh mana-mana rakan sepasukan tatkala serangan balas Jepun turut gagal disudahkan oleh barisan depannya.

Kesilapan Adam yang lambat mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hampir-hampir menghukum Malaysia pada minit ke-65 dalam satu gerakan yang berpunca daripada Naganuma Yoichi.

Setelah tandukan Syafiq melewati palang pada minit ke-75, Safawi meraih dua peluang keemasan untuk memberikan Malaysia kelebihan tetapi sepakan percuma dan rembatan bebas kaki kirinya hanya singgah ke palang serta tiang gol tatkala Ryosuke Kojima telah tertewas.

Tatkala aksi di Patriot Chandrabhaga dilihat bakal diheret ke masa tambahan, Jepun dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-89 selepas Dominic Tan menolak jatuh Ueda dan pemain yang menggantikan Maeda itu mudah menewaskan Haziq Nadzli untuk memastikan Malaysia kempunan dalam usaha meneruskan prestasi cemerlang di Indonesia.

"Pada saat akhir, kami hilang fokus dan Malaysia sedia maklum bahawa Jepun memiliki barisan depan yang cukup baik. Ia menyukarkan kami tetapi selepas beraksi dengan baik ketika bertahan, sepakan penalti memisahkan kedua-dua pasukan.

"Bagaimanapun, pemain-pemain telah memberikan aksi terbaik tetapi kehilangan sedikit konsentrasi," kata Kim Swee.