Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Sukan

Brazil juarai Kumpulan A, bakal bertemu Chile dalam pusingan kedua

Brazil juarai Kumpulan A, bakal bertemu Chile dalam pusingan kedua
(AP Photo/Christophe Ena)
KUALA LUMPUR: Penyerang Brazil, Fred akhirnya menutup mulut kritikan pedas daripada bekas pemain England, Alan Shearer dengan menjaringkan salah satu gol dalam kejayaan negara itu membenam Cameroon 4-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Estadio Nacional Mane Garrincha di Brasilia.

Dengan kejayaan tersebut, Brazil menjadi johan Kumpulan A berkongsi tujuh mata dengan Mexico yang berada di tangga kedua dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.
Mexico dalam masa yang sama juga turut mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati apabila menewaskan Croatia 3-1 di Arena Pernambuco, Recife.

Brazil
(AP Photo/Bernat Armangue)
 
Dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi, Brazil yang menurunkan kesebelasan yang hampir sama ketika menewaskan Croatia pada perlawanan pertama dilihat banyak melakukan asakan bertubi-tubi ke gawang Cameroon yang dijaga oleh Charles Itandje.
Namun, kebuntuan mencari jaringan berjaya dipecahkan pada minit ke 17 apabila Neymar dengan mudah menolak masuk bola hantaran Luis Gustavo menewaskan dua pertahanan Cameroon dan Itandje sendiri gagal mengekang tolakan bola tersebut.

Kegembiraan Brazil bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Cameroon mengejutkan tuan rumah dengan jaringan gol penyamaan pada minit 26 oleh pemain kelahiran Jerman, Joel Matip.

Brazil
(AP Photo/Dolores Ochoa)

Debaran permainan diteruskan dan gerakan-gerakan pantas dan menarik dari Brazil akhirnya berhasil apabila Neymar sekali lagi menjaringkan gol kedua untuk Brazil.

Pesta jaringan Brazil bagaimanapun masih belum tamat apabila Fred yang dikritik oleh Alan Shearer sebagai seorang yang gagal menyerlah dalam Piala Dunia ini akhirnya menutup mulut pengkritik dengan menjaringkan gol ketiga.

Penyerang Manchester City, Fernandinho yang masuk menggantikan Paulinho dengan jaringan keempat setelah menerima umpanan menarik daripada perancang tengah Brazil, Oscar.

Brazil
(AP Photo/Francois Xavier Marit, pool)

Keputusan 4-1 ini kekal hingga akhir perlawanan dan Brazil selaku juara Kumpulan A akan berdepan pasukan dari Amerika Selatan, Chile yang menjadi naib juara Kumpulan B pada Sabtu ini.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Luis Gustavo (Brazil).