PEMAIN tengah Harimau Malaysia, Brendan Gan, lebih mementingkan kebangkitan skuad negara berbanding kemungkinan dia menggalas tugas sebagai kapten.

Brendan adalah antara empat pemain yang meniti di bibir jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, sebagai calon kapten menggantikan Safiq Rahim.

Tiga lagi pemain yang memiliki perwatakan untuk menjalankan tanggungjawab itu, menurut Kim Swee, adalah Baddrol Bakhtiar, Amri Yahyah dan Khairul Fahmi Che Mat.

Jika dipilih Kim Swee, Brendan menganggap itu sebagai satu penghormatan tetapi keutamaannya adalah untuk setiap pemain bangkit bersama bagi memastikan Harimau Malaysia berada di kemuncak prestasi.

"Pasukan memerlukan banyak ketua, bukan perlu satu ketua. Kalau ada pemain tonggak yang boleh membimbing pasukan dan memberi inspirasi kepada pasukan untuk kejayaan, tidak kira siapa yang memakai lilitan kapten.

"Akhirnya, semua orang perlu mengetuai pasukan, perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan dalam perlawanan dan perlu bercakap satu sama lain," katanya.

Ketiadaan Safiq serta tiga lagi rakan daripada skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengumumkan persaraan, dianggap Brendan sebagai lumrah dalam dunia bola sepak.

Pemain tengah itu berasakan lebih baik untuk dia dan pemain yang bakal membentuk kesebelasan fokus kepada cabaran yang bakal hadir, bermula dengan perlawanan persahabatan menentang Indonesia, 6 September ini.

"Jelas (kami) kecewa beberapa pemain meninggalkan pasukan, ia keputusan mereka dan perlu dihormati. Kami perlu bergerak ke depan. Kita memiliki pemain hebat di Malaysia untuk mengisi kekosongan itu dan saya tidak sabar untuk mengenali muka baru dalam pasukan," katanya.

Skuad kendalian Kim Swee akan menentang Indonesia di Solo, sebelum berdepan Singapura pada 7 Oktober dan akan mengakhiri aksi persahabatan berdepan Afghanistan di Shah Alam pada 11 Oktober.