Berita  | Sukan

Brooker mahu lebih ramai penerjun layak ke Sukan Olimpik 2020

Brooker mahu lebih ramai penerjun layak ke Sukan Olimpik 2020
BROOKER: Penerjun kita perlu berada dalam kelompok 18 utama dalam acara individu dan tujuh terbaik dalam acara seirama bagi menjamin tiket ke Olimpik. - Gambar fail
NEW CLARK CITY : Skuad terjun negara perlu mengambil peluang mencatatkan keputusan positif pada kejohanan Terjun Piala Dunia FINA 2020 di Jepun dari 21 hingga 27 April depan.

Jurulatih negara, Christian Brooker, berkata kejohanan di Pusat Akuatik Tokyo itu merupakan kejohanan kelayakan terakhir untuk penerjun menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 di venue tersebut.

Sukan Olimpik Tokyo akan bermula 22 Julai hingga 9 Ogos, tahun depan.

Katanya, beliau akan menghantar kesemua penerjun utama yang belum layak ke Olimpik untuk Piala Dunia tersebut.

"Pada pusingan kelayakan terakhir itu, penerjun kita perlu berada dalam kelompok 18 utama dalam acara individu dan tujuh terbaik dalam acara seirama`bagi menjamin tiket ke Olimpik," katanya selepas berakhirnya acara terjun Sukan SEA ke-30 di Pusat Akuatik New Clark City di sini, hari ini.

Setakat ini, empat penerjun wanita telah layak ke Sukan Olimpik 2020 iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri.

Mengenai Sukan SEA Filipina, Brooker gembira dengan pencapaian sasaran empat pingat emas serta memuji beberapa penerjun, khususnya Muhd Syafiq Puteh dan Jasmine Lai yang menampilkan aksi cemerlang pada temasya dwitahunan itu.

Kem terjun negara menyapu bersih semua pingat emas ditawarkan dalam sukan itu dengan emas terakhir disumbangkan oleh gandingan Nur Dhabitah-Wendy dalam acara 3m papan anjal seirama.

Gandingan tersebut merampas semula pingat emas daripada penyandang Ashley Tan-Tan Kay Yian dari Singapura dengan catatan 270.6 mata.

Gandingan Singapura itu meraih pingat perak dengan 228.06 mata manakala gandingan Thailand, B.Surincha-Y.Ramanya mendapat gangsa selepas mengumpul 208.14 mata.

Sebeum itu, penerjun elit negara, Ooi Tze Liang mengekalkan emas acara 3m papan anjal individu lelaki, selain emas bersama Muhd Syafiq dalam acara 3m papan anjal seirama.

-- BERNAMA


Tag: christian brooker, skuad terjun negara, jurulatih terjun, olimpik, kelayakan, sukan, penerjun negara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.