Tutup

Berita  | Sukan

Bursa Bull Charge 2018 kumpul lebih RM2 juta untuk tujuan amal

Bursa Bull Charge 2018 kumpul lebih RM2 juta untuk tujuan amal
Bursa Malaysia terus menganjurkan larian Bull Charge dengan tema 'The Day The Marketplace Runs For Others'.
KUALA LUMPUR: Larian Bursa Bull Charge kembali dengan kutipan dana terkumpul lebih RM2 juta untuk dibahagikan kepada 23 penerima.

Dalam edisi kelimanya tahun ini, lebih 100 syarikat menyumbang kepada kutipan dana tersebut.

Acara larian tahunan yang diadakan di ibu kota ini menggamit penyertaan lebih 1,500 peserta tahun ini.

Terdapat pelbagai kategori dipertandingkan, namun setiap tahun tumpuan larian adalah kategori 1.5 kilometer CEO Run yang disertai pemimpin syarikat korporat dan badan berkaitan kerajaan di Malaysia.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming turut serta dalam larian kategori CEO Run dan juga 5 kilometer Corporate Challenge.

Ketua Pegawai Eksekutif Microlink Solutions Berhad, Chia Yong Wei mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas.
Edisi kali ini turut menampilkan larian bagi golongan kelainan upaya.

Bursa Malaysia meneruskan misi untuk menjadi peneraju kelestarian dalam kalangan dunia korporat dengan menggalakkan peserta datang ke acara tersebut menaiki pengangkutan awam untuk menerapkan konsep larian neutral karbon.

Selain itu, Bursa Bull Charge tahun ini menyumbang ke arah mencapai matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Bursa Bull Charge adalah larian yang disertai syarikat-syarikat korporat di Malaysia untuk mengumpul dana bagi tujuan amal.

Sejak pertama kali dianjurkan pada 2014, ia telah mengumpul lebih RM7 juta yang memberi manfaat kepada lebih 120 badan amal.