Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) diminta supaya memikirkan secara mendalam sebelum mendapatkan khidmat jurulatih dari Amerika Syarikat bagi membimbing atlet kebangsaan.

Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata pemilihan jurulatih asing itu hanya akan menafikan kemampuan jurulatih tempatan yang berkelayakan.

"Pemilihan jurulatih dari Amerika Syarikat atau negara lain sudah pasti memakan belanja besar seperti gaji tinggi dan lain-lain kemudahan perlu disediakan. Pada pandangan saya kita harus beri peluang kepada jurulatih tempatan yang mempunyai rekod cemerlang.

"Kita beri peluang kepada jurulatih tempatan yang layak untuk menyertai kursus boleh menaikkan tahap kelayakan mereka," kata Nazmizan kepada Bernama di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Bernama melaporkan KOM mencadangkan kepada MSN supaya mengambil jurulatih dari Amerika Syarikat dalam misi mempertahankan lapan pingat emas Sukan SEA dan kembali meraih pingat pada Sukan Asia.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berharap Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dapat membuat keputusan positif dalam perkara itu.

KOM sebelum ini, berhasrat mendapatkan khidmat jurulatih pecut Amerika Syarikat, Dwayne Millers namun masih kabur selepas gagal mencapai kata sepakat dengan MSN sejak tahun lepas.

Nazmizan berkata jurulatih pecut negara seperti Mohd Poad Md Kassim adalah contoh terbaik kerana berjaya membimbing dan melahirkan ramai atlet bertaraf tinggi yang telah mengharumkan nama Malaysia.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata ramai jurulatih tempatan mempunyai sijil daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) bermakna mereka layak melatih atlet negara.

-- BERNAMA