Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, malam ini, setelah selesai menjalani rawatan kanser hidung di luar negara.

Beliau yang menaiki jet peribadi tiba pada 9.15 malam dan dilihat menaiki sebuah daripada empat kereta mewah yang mengiringinya setelah keluar dari pesawat Asia Jet, perkhidmatan jet peribadi.

Terdahulu, kelihatan tiga individu yang memakai jaket dan seluar yang sama seperti bekas juara dunia itu untuk mengaburi pihak media yang berkampung di LTSAAS sejak 9 pagi Ahad lagi.

Kemudian, empat kenderaan mewah dipercayai membawa Chong Wei mula keluar di perkarangan LTSAAS, Subang kira-kira jam 9.30 malam tadi.


Chong Wei yang disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama menjalani rawatan kira-kira dua bulan di Taiwan.

Beliau dibenarkan pulang hari ini oleh doktor yang merawatnya.

Chong Wei enggan ditemu bual media yang menanti kepulangannya.


Masalah kesihatan pemain berusia 36 tahun itu mula menjadi perhatian ramai selepas beliau menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018, bulan lalu.

Sepanjang kariernya dalam badminton, Chong Wei meraih tiga kali pingat perak Sukan Olimpik pada 2008, 2012, 2016 dan tiga kali muncul naib juara Kejohanan Dunia (2011, 2013, 2015).


Beliau juga meraih gelaran 'Raja Siri Super' apabila menjuarai kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) paling banyak dalam sejarah.

Secara keseluruhan Chong Wei merekodkan 69 gelaran juara dan 34 naib juara.

-- BERNAMA