PERLAWANAN Ligue 1 akan berlangsung secara tertutup atau dihadkan kepada 1,000 penonton sebagai langkah pencegahan untuk mengawal wabak COVID-19.

Menteri Sukan Perancis, Roxana Maracineanu, mengesahkan keputusan itu selepas mempengerusikan satu mesyuarat untuk membincangkan langkah pencegahan bagi membasmi wabak itu semalam.

Perlawanan Paris Saint-Germain (PSG) menentang Strasbourg, Sabtu lalu telah ditunda kerana kebimbangan penularan wabak berkenaan manakala perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah ketika mereka menantikan kunjungan Borussia Dortmund awal pagi lusa akan berlangsung secara tertutup.

Perlawanan PSG menentang Nice dan Marseille dalam Ligue 1 selain final Coupe de la Ligue bertemu Lyon pada 4 April ini turut terjejas.

BACA: 110,000 orang dijangkiti COVID-19 di seluruh dunia

BACA: Salam korona ubah tradisi, rakyat Perancis kini kurang laga pipi

Perlawanan Kejohanan Enam Negara melibatkan Perancis dan Ireland di Stade de France, yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini juga ditunda.

Setakat ini, Perancis merekodkan 1,116 kes jangkitan yang turut melibatkan 19 kematian.