BAGI memastikan pesakit coronavirus tidak terputus hubungan dengan ahli keluarga mereka, pemain antarabangsa Belgium, Toby Alderweireld menderma tablet kepada hospital dan pusat perubatan.

Menurut laporan BBC, pemain pertahanan Tottenham Hotspur itu sudahpun membeli beberapa buah tablet dan banyak lagi akan diberikan kepada mereka yang terpaksa berpisah dengan keluarga akibat dikuarantin.

Alderweireld berharap tablet yang diberikan dapat menceriakan pesakit yang diasingkan, terutama sekali warga emas yang tidak mempunyai telefon bimbit.

Keputusan untuk menderma tablet dibuat selepas berbincang dengan ahli keluarganya yang sudahpun bersedia lebih awal untuk menghadapi krisis wabak Covid-19.

Bagi Alderweireld, UK agak lewat berbanding negara Eropah lain dalam membuat keputusan untuk mengekang penyebaran coronavirus.

La Liga Sepanyol dan Liga Serie A Itali telebih dahulu menggantung liga mereka namun Liga Perdana Inggeris (EPL) hanya dihentikan selepas pengurus Arsenal, Mikel Arteta disahkan positif Covid-19.

Kini, Alderweireld sibuk menjalani latihan kecergasan di rumah sebagai persediaan menyambung semula saingan EPL selepas 30 April.

Buat masa ini, tiada tarikh rasmi untuk EPL disambung semula.