PEMAIN baru yang dipancing Manchester United, Bruno Fernandes, berkata dia mula jatuh cinta terhadap kelab itu sejak menonton perlawanan yang membabitkan Cristiano Ronaldo bersama The Red Devils.

Malam tadi, United melengkapkan perpindahan pemain tengah Sporting CP itu dengan bayaran awal £46.5 juta (RM248.8j), selain bonus tambahan bernilai £21.1j (RM112.9j).

Pemain berusia 25 tahun itu yang juga merupakan rakan sepasukan Ronaldo dalam kem Portugal, menandatangani kontrak lima tahun setengah di Old Trafford, dengan kelab mempunyai pilihan untuk melanjutkannya.

Selepas membuat penampilan pertama bersama Sporting dalam musim 2002-03, Ronaldo berkelana ke United dan memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala Dunia Kelab sebelum menyertai Real Madrid pada 2009 dengan rekod perpindahan dunia.

"Perasaan cinta saya kepada Manchester United mula berputik selepas saya menonton perlawanan membabitkan Cristiano Ronaldo dan sejak itu saya menjadi penyokong tegar kepada kelab hebat ini," kata Fernandes dalam satu kenyataan kelab.

"Bagi saya, beraksi untuk Manchester United terasa luar biasa, saya telah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini dan saya berjanji kepada peminat bahawa saya akan mencurahkan segala-galanya demi lencana ini dalam usaha membantu membawa pasukan untuk meraih lebih banyak kejayaan dan trofi.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sporting atas segala usaha mereka terhadap saya. Ia sesuatu yang manis apabila mendengar cerita menarik daripada pemain yang pernah mewakili pasukan ini.

"Terima kasih banyak kepada Ole (Gunnar Solskjaer) dan semua pihak di Manchester United atas kepercayaan yang ditunjukkan dan saya tidak sabar-sabar lagi untuk mula membuktikan kemampuan di atas lapangan."

Fernandes memulakan kariernya sepak profesional bersama pasukan Itali, Novara, sebelum berpindah ke Udinese dan Sampdoria.

Bagaimanapun, saham pemain tengah kreatif itu mula melonjak tinggi ketika memperkuatkan Sporting apabila menyumbangkan 63 gol dan mencipta 52 bantuan gol dalam 137 penampilan bersama kelab berkenaan.

Fernandes dua kali memenangi Taca da Liga selain menjulang Taca de Portugal bersama Sporting.

Dia juga merupakan anggota skuad Portugal yang memenangi Liga Negara-Negara edisi perkenalan tahun lalu.