SELAIN sorakan puluhan ribu penyokong di stadium, tidak dapat dinafikan chant daripada kumpulan penyokong dengan nama Ultras Malaya (UM), antara nadi kejayaan pasukan bola sepak negara dalam kempen Sukan SEA.

Namun dalam perlawanan Malaysia menentang Thailand esok, ada kemungkinan nyanyian penuh bersemangat UM tidak akan kedengaran.

Dalam status yang dikemaskini di laman sosial rasmi mereka, UM memuat naik sekeping poster bertulis 'Curva Off'.

Bersama poster berkenaan, turut dimuat naik adalah kapsyen 'Esok tutup curva', serta hashtag #solidaritipemainke12.




Ia dikatakan sebagai satu bentuk protes ke atas sistem penjualan tiket perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, yang menyaksikan ramai penyokong terpaksa pulang hampa, biarpun mengambil cuti dan sudah beratur sejak awal pagi.

Pun begitu, ramai yang memujuk UM agar tidak meneruskan niat tersebut.

Ini kerana, apa yang penting dalam perlawanan esok adalah semangat yang dilontarkan kepada pemain menerusi chant UM.

Penjualan tiket perlawanan akhir antara Malaysia dan Thailand kecoh tengah hari tadi berikutan rempuhan berdekatan kaunter tiket di Stadium Shah Alam.

Keadaan diburukkan lagi apabila Kaunter Tiket B juga terpaksa ditutup berikutan berlaku kesesakan teruk.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menjelaskan tiket hanya dijual di stadium kerana pembekal transaksi pembayaran atas talian tidak dapat memberi jaminan proses yang stabil.