Juan Martin del Potro menempah tempat di pusingan akhir tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal terpaksa menarik diri susulan kecederaan lutut.

Pemain pilihan ketiga, yang juga juara pada 2009, sedang mendahului 7-6(7/3), 6-2 sebelum Nadal menarik diri.

Del Potro kini akan berdepan Novak Djokovic, juara pada 2011 dan 2015, yang menang mudah ke atas pemain Jepun Kei Nishikori dengan catatan 6-3, 6-4, 6-2.

"Kami tidak pernah bertemu di pentas akhir Grand Slam. Saya sangat menghormatinya terutamanya sebagai seorang pemain. Dia sangat baik," kata Djokovic.

Djokovic menang 14 kali dalam 18 pertemuannya menentang Del Potro dalam masa 10 tahun.

Sementara itu Nadal meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa menarik diri dari kejohanan tersebut.

"Saya tidak suka terpaksa mengundur diri," kata Nadal yang mengalami kecederaan lutut beberapa kali sepanjang kariernya.

Nadal juga terpaksa menarik diri selepas set kelima dalam pertemuannya dengan Marin Cilic pada perlawanan suku akhir Terbuka Australia Januari lalu.