Dua atlet Terengganu yang beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, September lepas, dikesan positif ujian doping, dedah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ibni Amin Busu.

Beliau yang kesal dengan isu tersebut, berkata atlet terlibat masing-masing seorang lelaki dan wanita, sekali gus menyebabkan kontinjen Terengganu kehilangan satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Beliau yang enggan mendedahkan identiti atlet berkenaan menyerahkan isu itu kepada badan siasatan dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.

"Namun satu pingat emas dan satu gangsa diperoleh kembali apabila ada atlet negeri lain terlibat sama dalam isu doping dan secara automatiknya atlet Terengganu yang memperoleh pingat perak dan tempat keempat mendapat emas dan gangsa.

"Kita takkan dedahkan lagi nama (atlet) sebab kita masih dalam siasatan untuk nak memastikan di mana puncanya. Sebab sebelum kita pergi ke Sukma kita telah ingatkan atlet dan jurulatih kita supaya hindari daripada bahan-bahan terlarang.

"Malah, dalam kem latihan kita yang terakhir pun kita panggil pegawai daripada ADAMAS (Agensi Antidoping Malaysia) untuk beri taklimat mengenai isu bahan-bahan yang terlibat dengan doping. Jadi ini yang dalam perhatian kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Sukma 2018 oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini malam tadi.

Sebelum ini, akhbar melaporkan dua atlet angkat berat yang beraksi pada Sukma 2018 di Perak, bulan lalu, didapati terlibat dalam kontroversi penyalahgunaan bahan terlarang dan disahkan gagal ujian doping.

Pendedahan itu disahkan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat.

-- BERNAMA