Berita  | Sukan

Dua jaringan Salah benam The Hornets

Dua jaringan Salah benam The Hornets
Reaksi Mohamed Salah ketika bermain dalam perlawanan EPL antara Liverpool dan Watford di Stadium Anfield, Liverpool, England, 14 Dis, 2019. (Foto AP)
LIVERPOOL 2 WATFORD 0

Liverpool terpaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan pasukan kelompok bawahan, Watford, 2-0, dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield pada Sabtu tatkala The Reds menerima satu lagi tamparan isu kecederaan susulan Georginio Wijnaldum terpaksa dibawa keluar.

Sehari selepas pengurus, Jurgen Klopp, menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2024, pendahulu liga itu gagal menampilkan aksi terbaik tetapi tetap unggul mencipta kemenangan hasil dua jaringan daripada Mohamed Salah yang menyaksikan gol keduanya hadir pada minit ke-90.

Abdoulaye Doucoure dan Ismaila Sarr melepaskan peluang keemasan buat Watford di antara jaringan pertama Salah tujuh minit sebelum rehat dalam aksi pertama di bawah kendalian Nigel Pearson.

Bagaimanapun, Liverpool -- yang turut menyaksikan satu gol dibatalkan akibat Video Bantuan Pengadil (VAR) -- mempamerkan aksi yang cukup untuk mengesahkan kemenangan dan kini mengharapkan perkembangan positif mengenai Wijnaldum memandangkan mereka bakal menghadapi separuh akhir Piala Dunia Kelab, Rabu depan.

Tiga pertemuan dengan Watford di laman sendiri sebelum ini berakhir dengan 16-1 secara agregat tetapi segalanya tampak tidak menjadi buat The Reds.

Walaupun hanya memiliki 30 peratus penguasaan bola, Watford jelas lebih berbahaya dalam setiap serangan balas yang hadir dari bahagian tepi.

Namun, Doucoure dan Sarr melepaskan tendangan liar di depan gawang dari dalam kotak penalti dan kesempatan pertama yang dilepaskan itu dihukum 58 saat kemudian tatkala tuan rumah menyumbat gol hasil peluang tunggal yang dimiliki sebelum rehat.

Liverpool memecah kebuntuan selepas Salah menyempurnakan hantaran Sadio Mane dari sebelah kiri sebelum masuk ke dalam mengatasi Kiko Femenia dan dengan mudah melencongkan bola melepasi Ben Foster ke penjuru kanan gol.

Watford terus berbahaya selepas rehat dan Alisson dipaksa melayangkan badan untuk menafikan peluang Sarr dan Gerard Deulofeu tatkala jaringan Mane pada minit ke-50 dibatalkan akibat VAR.

Penyudah tumpul dalam kawasan lawan, terutama daripada Roberto Firmino, jelas mengecewakan The Reds tetapi Liverpool -- yang kini memiliki kelebihan 11 mata di puncak liga sebelum pertemuan Leicester City dan Norwich City -- menambah gol kedua selepas Salah bijak menguis bola masuk hasil tendangan lemah Divock Origi.




Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro