Tutup

Berita  | Sukan

E-sukan: Malaysia tidak boleh ketinggalan - Khairy

E-sukan: Malaysia tidak boleh ketinggalan - Khairy
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bersama pasukan Orange pada tahun 2015. Orange memenangi tempat ketiga dalam kejohanan The International (Dota 2) pada tahun tersebut. - Foto Facebook / Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan industri e-sukan yang dilihat mempunyai potensi besar di peringkat global, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. 

Khairy berkata e-sukan telah pun mendapat pengiktirafan daripada Majlis Olimpik Asia dan akan dipertandingkan buat pertama kali dalam Sukan Asia pada tahun 2022 nanti.

Menurut Khairy lagi, kejohanan e-sukan di peringkat negara juga bakal diadakan pada Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun depan di Perak.

“Pada tahun 2015 ketika pasukan Orange memenangi tempat ketiga dalam kejohanan The International (Dota2). Saya berjumpa mereka di pejabat dengan menghadiahkan tracksuit harimau Team Malaysia.
“Ini menandakan permulaan pengiktirafan Kementerian terhadap industri e-sukan,” tambah Khairy dalam satu kenyataan, semalam.

Khairy juga berharap orang ramai dapat memberi sokongan kepada mereka yang mewakili negara pada kejohanan-kejohanan akan datang.
 

“Malaysia mempunyai pemain profesional yang telah menempah nama di persada dunia seperti MidOne, Ah-fu, Mushi dan NaNa (Dota2), Veki (League of Legends) aimannn (CS: GO) dan AmTuah and Shige  (FIFA) and serta Chuan dalam Street Fighter V," tambah Khairy.

Sudah tentunya, ramai pemain profesional dan peminat e-sukan negara menyambut baik pengumuman Khairy dalam mengiktiraf dan memartabatkan industri e-sukan.

 

 


 

 
 

Sebelum ini, Khairy turut mengumumkan Majlis Sukan Negara bakal membentuk satu unit yang memberi fokus kepada pembangunan e-sukan sebagai persiapan menjelang kejohanan Asia 2022 yang akan berlangsung di Hangzhou, China.