Tiga e-sukan akan ditonjolkan sempena penganjuran acara 'Esports Experience' dalam Sukan Malaysia (SUKMA) nanti iaitu Mobile Legends, Pro Evolution Soccer (PES) dan FIFA.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak Howard Lee Chuan How berkata ketiga-tiga e-sukan tersebut akan disertai pemain-pemain profesional seperti Amirul Afandi (AmTuah), Boon Shin (Shige), duo PES Malaysia, Mohamad NorHaikal Mohamad Noh dan Muhamad Khairul Abdul Aziz serta pasukan Mobile Legends tempatan, Honor Mysterious Assassins (MyA).

"E-sukan belum lagi dimasukkan ke dalam acara SUKMA atau dipilih sebagai sukan pertunjukkan.

"Jadi dengan perlaksanaan 'Esports Experience' ini, diharapkan agar e-sukan dapat diketengahkan dan didedahkan sebagai sukan yang sihat kepada belia dan menjadi pemangkin kepada industri yang sedang berkembang,"katanya dalam satu sidang media yang berlangsung di Battle Arena, hari ni, di sini.


Beliau berkata penganjuran acara 'Esports Experience' itu akan berlangsung di Stadium Indera Mulia Ipoh, Perak pada 21 dan 22 September nanti.

Menurut Howard, Kerajaan Negeri Perak komited untuk merealisasikan agenda pembangunan e-sukan.

Jelasnya, pihak beliau berhasrat untuk membuka satu perspektif baharu bagi menyokong dan mengangkat perkembangan e-sukan sebagai sukan arus perdana kepada generasi muda.

"Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sedang menyiapkan kertas kerja mesyuarat kerajaan negeri Perak bagi mewujudkan badan pemikir dan pemantau iaitu Majlis Sukan Elektronik Negeri Perak.

"Ia selaras dengan pengumuman bahawa Majlis Olimpuk Asia (OCA) telah mengiktiraf sukan elektronik dan bakal disenaraikan pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China," katanya.