ACARA UFC 240 yang bakal berlangsung pada Ahad (waktu Malaysia) bakal menyaksikan pertembungan dua jaguh MMA terbesar dunia.

Petarung yang berasal dari Hawaii, Max 'Blessed' Holloway bakal mempertaruhkan kejuaraan featherweight yang disandangnya berdepan pencabar, Frankie 'The Answer' Edgar.

Holloway berkata, dia sememangnya tidak memandang rendah lawannya walaupun berusia 10 tahun lebih muda berbanding Edgar.

"Edgar adalah seorang lagenda. Dia dan pasukannya memang bijak. Jadi kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku", katanya kepada Astro AWANI.

Holloway turut meramalkan pertarungannya dengan Edgar bakal menjadi pertarungan yang sengit.

"Apabila Edgar bertarung, ia akan menjadi satu pertempuran. Saya sudah lama melihat Edgar bertarung. Dia sentiasa bertarung dengan lawan yang lebih besar tetapi dia adalah petarung yang sangat bijak. Jadi saya bersedia untuk sebarang kemungkinan," tambah Holloway.

Apabila ditanya apakah mesej yang ingin disampaikan pada Edgar, ini jawapan Holloway:

"Apabila pintu Octagon ditutup, anda adalah 'UFC Hall of Famer', manakala saya pula sedang berusaha mendapatkan gelaran itu. Saya tak sabar menanti awak pada hari Sabtu nanti (Ahad waktu Malaysia)."

Holloway juga sempat memberi kata-kata penghargaan kepada peminatnya terutama sekali yang berada di Malaysia.

"Terima kasih atas segala sokongan yang anda berikan serta sokongan dari kamu semua di Malaysia. 'Blessed Express' sudah tiba, pastikan anda dapatkan tempat duduk," katanya.

Pertarungan UFC 240 merupakan pertarungan ketiga Holloway dalam mempertahankan kejuaraan featherweightnya yang disandang sejak Jun 2017.