Para pemenang Paralimpik bagi acara larian 1500 meter kategori lelaki mencatat masa yang lebih pantas daripada pemenang Sukan Olimpik yang berlangsung di Rio de Janeiro pada bulan lepas.

Ini nyata satu kemenangan yang cemerlang dan menakjubkan.

Menurut media antarabangsa, perlumbaan yang diadakan pada Ahad lalu di Stadium Maracana di Rio de Janeiro, Brazil merupakan sebahagian daripada acara dalam kategori T13, yang diklasifikasikan untuk atlet paralimpik dengan masalah penglihatan.

Difahamkan, empat pelari Paralimpik itu menamatkan saingan akhir larian 1,500 meter (T12/13) dengan catatan masa yang lebih pantas daripada pemenang pingat emas Olimpik Rio Matthew Centrowitz Jr dari Amerika Syarikat.

Centrowitz Jr hanya merekodkan 3 minit dan 50 saat di garisan penamat dan pingat emas menjadi miliknya.

Tempat pertama di Paralimpik pula diraih oleh Abdellatif Baka dari Aleria yang mencipta rekod dunia terbaru dengan mencatat masa 3 minit 48.29 saat, dan tempat kedua dimenangi oleh Tamiru Demisse dari Ethopia (3 minit 48:49 saat).

Tempat ketiga dimenangi oleh Henry Kirwa daripada Kenya dengan merekodkan 3 minit 49.59 saat, manakala tempat keempat jatuh kepada Fouad Baka (3 minit 49.84 saat).

"Bukan mudah untuk memenangi pingat emas ini," kata Abdellatif selepas itu.

"Saya telah bekerja keras tanpa henti untuk satu atau dua tahun dan ia sangat, sangat sukar bagi saya."