Tutup

Berita  | Sukan

England Kane-duri gol! (England 6-1 Panama)

England Kane-duri gol! (England 6-1 Panama)
Kane meraikan gol kedua England ketika perlawang Kumpulan G antara England dan Panama pada Piala Dunia 2018 di Stadium Nizhny Novgorod, Rusia pada Ahad lalu. - AP
NIZHNY NOVGOROD: Siapa lagi kalau bukan Harry Kane sekali lagi menjadi watak utama kemenangan England, kali ini pendatang baharu Panama menjadi mangsa mereka apabila diratah 6-1 pada petang Ahad.

Kapten itu meledak hatrik, sekaligus memintas Cristiano Ronaldo dan Romelu Lukaku sebagai peneraju carta penjaring terbanyak temasya kali ini dengan lima gol daripada hanya dua perlawanan.
Ternyata Los Canaleros bukan lawan The Three Lions dan kemenangan mengesahkan slot England di pusingan 16 pasukan terakhir sebelum perlawanan penghabisan kumpulan G berdepan tentangan sebenar daripada Belgium.

Kenduri gol di Nizhny Novgorod bermula dengan tandukan pertahanan Manchester City, John Stones seawal minit keenam, disusuli sepakan penaliti deras Kane pada minit ke-22 selepas Jesse Lingard dijatuhkan berdekatan tiang kiri gawang Panama.
England terus mendominasi separuh masa pertama dan serangan bertali arus akhirnya menemui sasaran menerusi Lingard yang tenang melencong bola ke penjuru kiri gawang menewaskan Jaime Penedo pada minit ke-36.

Selesa berkelebihan tiga gol tetapi masih belum puas, England meneruskan tempo menyerang untuk memanfaatkan keruntuhan moral pasukan lawan.

Sekali lagi tandukan Stones menerjah gawang empat minit kemudian, sebelum Kane meledak kencang satu lagi sepakan penalti pada penghujung babak pertama.

Captain Kane melengkapkan hatrik dengan cara tidak sengaja apabila rembatan Ruben Loftus-Cheek terkena kakinya sebelum terbias memasuki gawang Panama.

Panama dan para penyokongnya yang riuh sekadar mampu meraikan gol pertama mereka dalam kancah Piala Dunia menerusi Felipe Baloy sebagai gol saguhati untuk permainan berakhir dengan keputusan 6-1.

Kali terakhir England menang besar di pentas Piala Dunia adalah pada temasya 2002 di Korea/Jepun menentang Denmark dan di Mexico pada 1986 melawan Poland dan Paraguay - semuanya kemenangan 3-0.

Bagaimanapun rekod baharu itu kurang empat gol daripada catatan terbaik sepanjang zaman yang diukir Hungary apabila menewaskan El Salvador 10-1 pada 1982.

Berdasarkan peraturan 'fair play' FIFA, England kini mengetuai kumpulan G, walaupun berkongsi mata, jumlah gol dan jumlah bolos yang sama dengan Belgium.

Sepanjang kejohanan berlangsung, England mengumpul dua kad kuning sementara Belgium tiga kad kuning, sekali gus memberi kelebihan kepada skuad Three Lions untuk berada di puncak.

England akan bertemu Belgium pada 29 Jun pada jam 2 pagi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sementara Panama dan Tunisia yang sudahpun tersingkir akan bertemu bagi melengkapkan perlawanan di Rusia.