LIGA Perdana Inggeris (EPL) akan membenarkan pasukan membuat lima pertukaran pemain semasa perlawanan untuk baki permainan musim 2019-20.

Ini menjadikan saingan liga tertinggi England sejajar dengan pindaan undang-undang sementara yang diumumkan oleh Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) bulan lalu.

Badan peraturan terkemuka dunia membuat perubahan sebagai kaedah bagi meringankan tekanan pemain yang kembali beraksi berikutan penangguhan saingan ekoran koronavirus sejak Mac lalu.

Kelab juga akan dapat menurunkan sembilan pengganti berbanding dengan tujuh sebelum ini.

EPL akan kembali bersambung 17 Jun ini menyaksikan perlawanan antara Manchester City dan Arsenal, dan Aston Villa dan Sheffield United.

Lima pusingan ujian saringan koronavirus terhadap pemain dan kakitangan telah dilakukan sebagai sebahagian daripada Projek Restart, dengan hanya Tottenham mencatatkan satu keputusan positif minggu ini.