Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal memperkenalkan format baharu Liga FAM 2019 dalam usaha meningkatkan kualiti pertandingan berkenaan ke tahap lebih baik.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata badan induk itu sedang meneliti beberapa faktor sebelum membuat keputusan muktamad berhubung penyertaan senarai pasukan bertanding dalam Liga FAM musim depan.

"Dalam sedikit masa lagi, kita akan umumkan format baharu ini tetapi yang pasti, format baharu ini lebih menarik dan melibatkan lebih banyak pasukan yang akan bertanding," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam bagi sesi 2017-2021 yang dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Seri Kembangan dekat sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam berkata badan induk itu sudah mengadakan perbincangan mendalam dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sejak beberapa bulan lepas bagi merangka struktur liga bola sepak lebih kompetitif di negara ini.

"Isu mengenai jumlah penyertaan pasukan Liga FAM agak memperlahankan perbincangan dengan MFL sebelum ini kerana bagi kami, piramid bola sepak perlulah lebih holistik dan kita perlu melihat perkara berkenaan dengan lebih teliti.

"Setakat ini sudah ada lima pasukan memberi respons kepada kita untuk Liga FAM, namun bukan jumlah pasukan kita nilai, tetapi kualiti dan stabiliti pasukan berkenaan yang menjadi keutamaan kita," katanya.

Stuart mengakui faktor-faktor berkenaan perlu diambil kira memandangkan terdapat beberapa pasukan yang mengambil keputusan menarik diri daripada Liga Malaysia sejak beberapa musim lepas.

Dalam perkembangan berasingan, Stuart memaklumkan FAM bakal melancarkan Liga Futsal Profesional 2019 dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata pengenalan kejohanan berkenaan mendapat persetujuan daripada anggota exco FAM yang memberi sokongan penuh.

"Format dan tarikh pelancaran liga futsal ini akan diumumkan dalam tempoh sebulan lagi dan kita anggap pengenalan liga ini memberi impak positif kepada pasukan futsal negara dan juga industri futsal di negara ini, yang mungkin selama ini sudah cukup matang untuk dibangunkan ke tahap profesional," jelas Stuart.

-- BERNAMA