Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) bersetuju mencadangkan gol pemain muda kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) 2019.

Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi mencadangkan supaya gol jaringan pemain berusia 21 itu tersenarai sebagai salah satu calon anugerah berkenaan.

Jaringan Muhammad Syahmi itu dibuat menerusi satu gerakan berpasukan pada minit ke-28 ketika perlawanan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember tahun lepas.

Keunikan gol Muhammad Syahmi terhasil menerusi tujuh hantaran melibatkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Mohd Farizal Marlias, sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan pemain itu.

"FAM berharap ia akan berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 calon untuk Anugerah Puskas FIFA 2019. FAM akan melampirkan salinan video gol tersebut untuk dinilai oleh FIFA.

"Walaupun senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas FIFA 2019 itu nanti akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan pencalonan tetap perlu dihantar kepada FIFA.

"Ia sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri mencatatkan sejarah dalam arena bola sepak kebangsaan dan Asia apabila muncul pemain Asia pertama merangkul anugerah berkenaan.

Anugerah itu juga membuatkan nama Faiz tercatat sebaris dengan pemain bola sepak antarabangsa yang pernah memenangi anugerah itu termasuk Cristiano Ronaldo, Hamit Altintop, Neymar, Miroslav Stoch, Zlatan Ibrahimovic, James Rodriguez dan Wendell Lira.

Jaringan penuh magis yang melayakkan Faiz menggondol anugerah itu dihasilkan pada aksi Liga Super 2016 ketika perlawanan pasukannya, Pulau Pinang menentang Pahang.