Berita  | Sukan

FAM setuju hantar jaringan Goulon ke FIFA

FAM setuju hantar jaringan Goulon ke FIFA
Gol ajaib Herold Goulon (kanan) bakal dikemukakan FAM untuk Anugerah Puskas. - Foto Stadium Astro.
FAM mempertaruhkan dua gol ke saringan Anugerah Puskas 2019 selepas badan induk itu bersetuju untuk mengemukakan jaringan pertahanan Pahang, Herold Goulon, kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Goulon mencetus sensasi apabila meledak gol 'ajaib' menerusi sepakan percuma dari jarak 55 meter ke gol lawan dari kawasan sendiri.

Ia terhasil dalam waktu kecederaan ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA bertemu Perak di Stadium Darul Makmur, Sabtu lalu.

Tular di media sosial dan mendapat liputan media antarabangsa, nama bekas pemain Blackburn Rovers itu mendapat persetujuan untuk dihantar kepada FIFA.
"Pahang sudah meluluskan kepada FAM untuk mengemukakan gol tersebut kepada FIFA dan FAM akan menghantar surat pencalonan serta video jaringan tersebut kepada badan induk dunia itu hari ini," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.


Ia merupakan penyertaan kedua FAM kepada FIFA tahun ini selepas mencalonkan jaringan pemain muda negara, Syahmi Safari, Mac lalu.

Keunikan jaringan Syahmi terhasil menerusi tujuh hantaran melibatkan tujuh pemain, bermula daripada penjaga gol Harimau Malaya, Farizal Marlias, ketika aksi separuh akhir Piala Suzuki AFF 2018 berdepan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok.



Terdahulu, bekas tonggak Pulau Pinang, Faiz Subri, menggegar dunia dengan sepakan percuma yang disifatkan 'melanggar' hukum fizik untuk merangkul Anugerah Puskas 2016.

Kejayaan itu menyaksikannya muncul selaku pemain bola sepak Asia yang pertama merangkul anugerah berprestij itu.






Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro