Tutup

Berita  | Sukan

Farizal atau Khairulazhan, siapa jadi pilihan?

Farizal atau Khairulazhan, siapa jadi pilihan?
Siapa bakal beraksi menjelang pertembungan Malaysia menentang Thailand dan Indonesia pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - Astro AWANI
PETALING JAYA: Posisi penjaga gol utama skuad kebangsaan kini menjadi tumpuan menjelang pertembungan Malaysia menentang Thailand dan Indonesia pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Aksi cemerlang penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dalam kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Tajikistan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 Sabtu lepas, menyaksikan beliau kini berpotensi menggugat kedudukan Mohd Farizal Marlias di posisi itu.
Mohd Farizal dibolosi lima gol dalam tiga aksi pertama Kumpulan G dan bagi Ketua Jurulatih negara Tan Cheng Hoe, tiada jaminan buat mana-mana pemain untuk kekal di dalam kesebelasan utama pasukannya.

"Dalam kesebelasan utama atau senarai skuad 23 pemain, semua (pemain) tiada jaminan 100 peratus tetapi kita memang mempunyai pemain utama dan kesebelasan yang kita rasa boleh memberi sesuatu kepada pasukan.
Pemain tahu setiap kali datang ke kem latihan mereka perlu tempuh persaingan yang sihat dan ia amat bagus. Kita ada dua hari lagi untuk cari kesebelasan terbaik untuk menentang Thailand," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini, pada Isnin.

Selepas hampir dua tahun, Mohd Khairulazhan kembali ke dalam skuad kebangsaan apabila disenaraikan dalam senarai 26 pemain dipanggil untuk berdepan Vietnam, bulan lepas, namun hanya memanaskan bangku simpanan.

"Tak ada masalah (menjadi penjaga gol utama) kalau jurulatih beri kepercayaan saya akan balas balik tetapi ia mungkin sukar, namun saya akan tunjuk 100 peratus komitmen terhadap perlawanan jika diturunkan," jelas Mohd Khairulazhan.

Selain ketajaman jentera serangan, kekebalan benteng pertahanan turut memainkan peranan penting bagi memastikan enam mata penuh diraih skuad kebangsaan untuk kembali bersaing merebut slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Malaysia kini mengumpul tiga mata dan menduduki tempat keempat dalam Kumpulan G, dibezakan empat mata dengan pendahulu Thailand yang berkongsi mata dengan Vietnam.

Malaysia melakar kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Jakarta sebelum tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil dan tumpas 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi, bulan lepas.

-- BERNAMA


Tag: penjaga gol utama, harimau malaya, perlawanan, bolas epak, thailand, indonesia, kelayakan piala dunia, piala asia, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, Mohd Farizal Marlias



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.