Selepas lima bulan bernaung di bawah salah sebuah pasukan FIFA 18 ternama di Asia Tenggara, Order Of Elites Asia (OoE), pemain profesional Kathireswaran ‘InFamous9’ Sugumaran kini membuat keputusan untuk berpindah ke organisasi e-sukan tempatan, FrostFire.

Kathireswaran yang senang dikenali sebagai Kathires berkata biarpun ia merupakan satu keputusan yang sukar dilakukan namun perpindahan ke FrostFire adalah bagi memenuhi objektif jangka masa panjang kariernya dalam e-sukan FIFA.

“Ia merupakan satu kebanggaan bagi saya untuk bermain bersama salah sebuah pasukan terbaik di Asia Tenggara.

"Namun saya mahu mewakili pasukan daripada Malaysia dan membawa nama negara ini dengan lebih jauh dalam e-sukan FIFA,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

BACA: MCG2018: Kathires juara FIFA 18, bawa pulang RM15,000

Menerusi penyertaan Kathires dalam FrostFire yang sebelum ini dikenali sebagai Fire Dragoon, dia berharap dapat menyerap segala ilmu e-sukan FIFA daripada jurulatih Boon ‘Shige’ Shin.

“Shige merupakan salah seorang pemain FIFA yang terbaik di Malaysia dan ia merupakan satu peluang baik apabila dapat bekerjasama dengannya,” jelasnya.

BACA: Dari dunia perbankan ke arena maya, Shige pertaruh masa hadapan

Kathires merupakan antara pemain e-sukan FIFA negara yang wajar diberi perhatian berikutan rekod pencapaiannya dalam beberapa kejohanan di peringkat negara dan antarabangsa.

Antaranya, dia pernah memenangi Kejohanan Malaysia Cyber Games 2018 pada Januari lalu, mewakili Malaysia ke China Esports Game 2018, mendapat tempat ketiga Piala Infinity Acer dan Kejohanan Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara.