Pemain profesional e-sukan FIFA 18 negara, Nur Amirul Afandi (AmTuah), 23 muncul juara dalam kejohanan FIFA 18 Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara yang berlangsung di Battle Arena di sini, hari ini.

Kemenangan AmTuah daripada pasukan Fire Dragoon itu menyaksikan dia terpilih untuk menjadi wakil Asia Tenggara dan berentap menentang pemain FIFA 18 terbaik seluruh dunia di Jerman pada Mac depan.

Dalam kejohanan yang hanya boleh menggunakan kelab bola sepak Jerman itu, AmTuah mengalahkan pemain Singapura, Muhammad Syakir Abdul Rauf, 22, dengan keputusan 2-0.

Pada pusingan pertama final, Syakir yang mewakili Order of Elites Asia mempertaruhkan VfB Stuttgart dengan memberi asakan bertali arus kepada AmTuah sehingga mampu menyamakan kedudukan 2-2.

Bagaimanapun, serangan Syakir dipatahkan dengan pertahanan mantap AmTuah yang mempertaruhkan RB Leipzig pada pusingan pertama final itu. AmTuah mengakhiri pusingan pertama dengan keputusan 3-2.

AmTuah kemudiannya terus menggandakan asakan pada pusingan kedua final kejohanan itu dengan menggunakan FC Bayern München dan hasilnya memperolehi gol pertama.

Syakir yang seolah-olah tidak tergugat dengan serangan AmTuah terus menyamakan kedudukan seri 1-1 dengan menggunakan pasukan TSG 1899 Hoffenheim.


Tidak tersentak dengan jaringan penyamaan itu, AmTuah kelihatan lebih bertenang berdepan asakan Syakir.

Serangan AmTuah membuahkan hasil sehingga berjaya merangkul gelaran terbaik Asia Tenggara dalam kejohanan Virtuelle Bundesliga.


AmTuah terus sujud syukur selepas memenangi kejuaraan Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara pada 11 Februari 2018 di Battle Arena. - Foto Astro AWANI /MARIAH AHMAD

AmTuah yang ditemui media selepas kemenangannya itu mengakui dia dicabar kuat dari segi ketahanan mental dalam kejohanan itu.

“Cabaran mental memang sangat kuat kerana ini persaingan antara yang terbaik di Asia Tenggara. Saya akan buat yang terbaik pada kejohanan di Jerman nanti untuk layak ke e-Piala Dunia FIFA,” katanya.

Dengan kemenangan itu AmTuah membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Kejohanan FIFA 18 Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara berlangsung sejak semalan dan disertai 256 pemain.